Tun M akan serah 1.27 juta tandatangan Deklarasi Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong

20160304_DR_M_CITIZEN_DECLARATION_03_620_413_100

Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim

BANGI, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan ‘Deklarasi Rakyat’ berjaya mengumpulkan 1.27 juta tandatangan menuntut pengunduran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri berkata, beliau sendiri akan menyerahkan dokumen itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam tempoh dua bulan, kami telah berjaya mengumpul 1.27 juta tandatangan melalui dokumen dalam talian dan borang yang telah diedarkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, sebanyak 1.07 juta tandatangan daripada dalam talian dan 200,000 lagi melalui pengedaran borang kepada orang ramai.

Sambil menyatakan banyak lagi dokumen yang telah ditandatangani tetapi belum disemak, bekas perdana Menteri itu berkata, sebanyak 50,000 lagi direkodkan melalui laman alternative Change.org.

“Setiap orang yang turunkan tandatangan, kami akan semak kad pengenalan dan nama mereka, borang yang tidak lengkap atau nama yang tidak jelas akan kami tolak dan hampir 300,000 borang yang telah ditolak,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, beliau akan menyerahkan semua tandatangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong secepat mungkin.

Malah katanya, kempen itu tidak akan berhenti dan akan diteruskan untuk mendapatkan lebih banyak tandatangan.

Beliau turut menegur tindakan sesetengah pihak yang cuba mengancam orang ramai untuk tidak menandatangani dokumen itu.

“Kami mendapati terdapat sesetengah pihak yang mengugut orang ramai supaya jangan tandatangan deklarasi ini. Ini sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, rakyat seharusnya mempunyai kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka,” katanya lagi.

Perkara yang dituntut di dalam deklarasi itu adalah penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan dan penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya.

Selain itu, pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih serta pemulihan integriti insititusi yang telah dilemahkan, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian