TARBIYAH: Dia datang lagi…

ramadhan mubarakDia datang lagi. Aku mengeluh. Hatiku separuh rela. Kata ayah dan ibu dia tetamu VVIP, perlu sambut sebaik-baiknya. Aku tidak mengiyakan kata mereka. Sejak dahulu aku tidak berapa suka. Namun ku lihat mereka bersungguh-sungguh mahu menyambutnya.

Ayah sibuk menghiaskan ruang tamu. Ibu pula tidak cukup tangan menyediakan juadah untuk meraikanya bersama jiran-jiran terdekat. Aku malas ambil port. Aku terus masuk ke dalam bilik dan membenamkan diri di tilam serba empuk milikku.

“Mesti aktiviti aku tak macam selalu. Pasti ibu tak bagi aku main game kegemaran aku. Ayah mesti alih channel yang aku selalu tengok. Hmmph!”. Akhirnya aku terlena bersama hati yang bergumpal-gumpal.

“Assalamualaikum..”. “Waalaikumussalam..”. Sambutku lesu. Sudah ku jangka siapa gerangannya. Usai  bersarapan tadi lagi aku sudah tidak bersemangat. Sengaja berdiam diri untuk tidak menghiraukannya. Aku bermain game meskipun ditegah ibu. Aku kuatkan radio pada volume paling maksimum. Biar dia tahu kehadirannya tidak diundang.

Ayah tidak senang dengan perlakuanku. Nampak benar riak tegang di wajahnya. Ku lihat dia menahan sabar di hadapan tetamu itu. Aku lihat dia masih tidak jemu menungguku. Mengharapkan layananku agaknya. Sengaja aku jual mahal.

Akhirnya aku membuat keputusan untuk keluar bersama teman-teman. Aku menolak untuk makan bersama-sama mereka. Protesku menjadi-jadi. Kami berlumba di jalan yang sudah kami anggap ‘bapak kami yang punya’.

Entah bagaimana aku hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri. Aku terpelanting jauh. Padahal selama ini akulah yang jaguh. Dalam kesamaranku lihat teman-temanku laju meninggalku tanpa menoleh ke di belakang.

Aku menjerit meskipun lemah. Ternyata hampa. Suaraku hanya ditelan bayu malam yang sepoi-sepoi bahasa. Jalan yang lengang dan agak gelap meruntuhkan harapanku. Dadaku semakin sesak, cecair merah panas membuak-buak membasahi rambutku.

Dari kejauhanku lihat dia datang mendekatiku. Ku hadiahkan senyuman pahit dan kuhulurkan tangan mengharapkan dia menyambutnya. Namun dia hanya memandangku sepi. Aku terus menanti. Dia lantas berkata,”Kalau kau tak suka aku, aku akan pergi”.

Sebaris ayat yang diucapkan benar-benar menyentak hatiku. Menambah lagi sakit yang ada. “Jangan pergi! Aku minta maaf! Aku minta ampun! Tolong aku! Aku tak nak mati!”

“Muhammad…ooo Muhammad. Apa mengigau petang-petang ni. Ibu dah cakapkan  jangan tidur lepas Asar. Bangun, bangun. Tetamu dah mula datang dah tu, majlis kita pun dah nak mula ni.”

Sepantas kilat aku bangun. Memandang kiri dan kanan. Dunia penggembaraan sudah bertukar wajah. “Ibu, Ramadan dah datang ke?” ku asak ibu berkali-kali.

“Ish kamu ni,esok la..dah la tu cepat siap, nanti tak sempat.” Entah semangat apa, aku terus bangun menuruti kata ibu, bersiap dan terus melayani tetamu yang sudah memenuhi  halaman rumah.

Aku memandang sayu anak bulan dalam kegelapan langit. Dalam hati tidak terhitung rasa syukur atas peluang kedua yang diberikan Allah.

“Terima kasih Allah atas teguran yang membina ini. Akan ku sambut dia dengan layanan first class kali ini dan akan datang.” Aku tersenyum seraya mengangguk seolah-olah kami sedang mengadakan  perjanjian.

‘Ahlan wasahlan ya Ramadan…’ =)

OLEH:

AKTIVIS PEMBINA SERI ISKANDAR

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian