127 rakyat Malaysia terkandas di dua lapangan terbang Turki

PTJ11_210115_ZAHID

ULAANBAATAR, Sabtu – Sekurang-kurangnya 127 rakyat Malaysia disahkan terkandas di dua lapangan terbang di Turki, susulan cubaan rampasan kuasa dan pelaksanaan zon larangan terbang di negara itu semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, 27 rakyat Malaysia daripada Yayasan Islam Kelantan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk di Istanbul, manakala lebih 100 lagi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboğa di Ankara untuk transit selepas mengerjakan umrah.

Katanya, kebanyakan mereka yang terkandas itu sama ada dalam transit ke negara ketiga seperti Mesir atau singgah selepas mengerjakan umrah.

“Ini jumlah yang kita tahu setakat ini (12 tengah hari waktu Malaysia)…mereka terkandas selepas zon larangan terbang dikuatkuasakan di seluruh negara dan penerbangan dibatalkan,” katanya kepada media Malaysia sempena Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia Eropah (ASEM) ke-11 yang berakhir hari ini.

Menurut beliau, Wisma Putra akan melakukan penyelarasan dengan Kedutaan Malaysia di Ankara untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di sana terjaga.

Kenyataan tentera yang disiarkan media Turki pada Jumaat menyebut angkatan tentera merampas kuasa sepenuhnya di negara berkenaan, bagaimanapun Presiden Turki, Tayyip Erdogan pada awal Sabtu menegaskan, cubaan rampasan kuasa itu gagal dan menggesa rakyat menjunjung demokrasi.

Zahid turut menasihatkan rakyat Malaysia, termasuk pelajar di Turki tidak keluar rumah demi keselamatan masing-masing.

“Mereka harus mengikut arahan kedutaan Malaysia di sana. Pegawai akan menghubungi mereka, kalau tak dihubungi pun mereka harus menghubungi kedutaan,” kata Menteri Dalam Negeri itu.

Berikutan keadaan bergolak dan zon larangan terbang di Turki, Zahid meminta rakyat Malaysia yang bercadang pergi ke negara itu menangguh atau membatalkan rancangan mereka buat masa ini.

Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (Masat) menerusi Facebooknya memaklumkan kenyataan rasmi berhubung insiden itu akan dikeluarkan selepas mengemas kini maklumat pelajar-pelajar dan menunggu kenyataan rasmi cubaan menggulingkan kerajaan gagal.
“Diharapkan semua berhati-hati dalam memilih berita dan merujuk kepada portal-portal tempatan (di Turki) yang boleh dipercayai,” kata Masat. – Bernama

The post 127 rakyat Malaysia terkandas di dua lapangan terbang Turki appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?