Alat pengehad kelajuan alternatif kurangkan kemalangan babitkan bas
IPOH, Sabtu – Pemasangan alat pengehad kelajuan pada bas ekspres merupakan altenatif terbaik dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya selain mengenakan tindakan saman.
Penasihat Menteri Pengangkutan, Tan Sri M. Kayveas berkata, kedegilan sesetengah pemandu bas mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya menyebabkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencari jalan lain untuk mengurangkan kemalangan.
“Kita dapati sukar untuk kerajaan mengawal kenderan berat seperti bas untuk mematuhi undang-undang, oleh itu JPJ cuba cari alternatif bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Untuk menjayakan sifar kemalangan memang sukar tetapi saya percaya cara ini dapat menurunkan kadar kemalangan di dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Aidilfitri MyPPP Bahagian Ipoh Timur di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Kayveas yang juga Presiden MyPPP berkata, sekiranya kerajaan menaikkan kadar sama untuk mengurangkan kemalangan, langkah itu pastinya menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.
“Kemalangan tetap berlaku bagilah saman banyak mana sekalipun mereka akan bayar dan ulang kesalahan itu, jadi ini sahaja cara untuk kita kawal kelajuan yang merupakan antara punca penyebab kemalangan,” katanya.
Dalam sidang media di sini, Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron berkata, kesemua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan perlu memasang alat pengehad kelajuan mulai Januari tahun depan manakala untuk bas lama JPJ memberikan tempoh lima tahun atau menjelang 2020.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Polis Perak supaya Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan bonggol dipasang di kawasan Kilometer 265.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora, Kayveas berkata ia harus dipandang serius dan perlu dilaksanakan.
“Pemandu tahu peraturan tetapi tetap melakukan kesalahan, maka hanya ini sahaja caranya untuk mengurangkan kemalangan dan menjaga keselamatan orang lain,” katanya.
Pada 15 Julai lalu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Perak Supt Wan Jamil Wan Chik pemasangan AES dan bonggol itu merupakan antara cara untuk mendidik orang ramai khususnya pemandu bas agar memandu mengikut had laju ditetapkan. – Bernama
The post Alat pengehad kelajuan alternatif kurangkan kemalangan babitkan bas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan