Dash, Suke tetap dilaksanakan tahun depan di Selangor
SHAH ALAM, Rabu – Kerajaan tetap melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke), tahun depan walaupun ada bantahan dan halangan.
Kedua-dua projek itu yang membabitkan kos sehingga RM9.87 bilion adalah sebahagian daripada lima projek lebuh raya yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.
Beliau berkata, pembinaan kedua-dua lebuh raya itu akan bermula tahun depan, selepas proses pengambilan tanah selesai walaupun ada pihak yang membawanya ke mahkamah.
“Bagaimanapun, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) telah maklumkan dalam mesyuarat tadi bahawa mereka akan teruskan projek itu dengan mengambil kira masalah rakyat tempatan… kita harap bila lebuh raya ini siap, ia akan bantu kurangkan kesesakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor di sini, semalam.
Sebelum ini, beberapa pihak, termasuk parti politik menyuarakan bantahan kepada Kerajaan Selangor berhubung projek Dash dan Suke, serta menuntut supaya dibatalkan.
Beliau berkata, selain dua lebuh raya itu, Kerajaan Persekutuan bakal membina Lebuhraya Putrajaya-KLIA (MEX2) tahun depan dan sedang melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE).
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) juga memperuntuk RM116 juta untuk melaksanakan 27 projek di Selangor.
Antara projek yang akan dan sedang dilaksanakan di Selangor ialah pembinaan lampu jalan kampung, pembinaan jalan-jalan di luar bandar, bantuan membaiki rumah dan pembinaan rumah baharu serta bantuan kepada orang asli.
The post Dash, Suke tetap dilaksanakan tahun depan di Selangor appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan