i-peguam menyokong RUU Akta Mahkamah Syariah

Tuan-Luttfi

I-Peguam menerima baik cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) untuk memperkasa kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini. Cadangan pindaan ini telah dibentangkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang.

Memahami Akta 355

Akta 355 merupakan undang-undang atau Akta yang diluluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

Pindaan ini akan menambah kuasa hukuman yang ketika ini dibataskan pada kadar hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan syar’ie. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati.

Walaubagaimanapun, I-Peguam menyelar tindakan serta kenyataan beberapa pihak khususnya pejuang dan pemikir liberalisme, sekularisme dan pluralisme yang mengkritik, menentang serta menyebarkan persepsi negatif berkaitan dengan RUU tersebut.

RUU, yang dikatakan mempunyai intipati berkenaan Hudud, sering dijadikan bahan menyebar Islamofobia dan salah faham terhadap Hudud sendiri dalam usaha memperkuat arus liberalisme, sekularisme dan pluralisme di Negara ini.

Mereka menyebarkan beberapa tuduhan yang difikirkan wajar diberikan pencerahan supaya RUU ini dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat tanpa persepsi yang buruk serta salah faham.

Menjawab tuduhan pertama – menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah

Pertama, mereka menuduh bahawa RUU ini akan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah yang kini hanya melibatkan orang Islam dengan persepsi bahawa kononnya Mahkamah Syariah akan mempunyai bidang kuasa untuk menghakimi serta menjatuhkan hukuman ke atas orang bukan Islam.

Bagi menjawab tuduhan tidak berasas ini, sila baca petikan daripada cadangan pindaan berikut;

“Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”

Apakah kandungan Butiran 1? Butiran 1 adalah bidang kuasa negeri-negeri untuk menguruskan hal ehwal agama Islam seperti yang terkandung dalam Perlembagaan (Undang-Undang Persekutuan). Berikut adalah petikan dari Butiran 1 tersebut;

“1. Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam,…pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.”

Berdasarkan Butiran 1 ini, terdapat dua perkara penting yang perlu difahami. Pertama, hal ehwal Islam ini tidak termasuk perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan. Kedua, hal ehwal Islam ini hanyalah ke atas orang Islam.

Justeru, mengambil kira petikan yang dicanangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ia adalah penegasan semula bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa ke atas orang Islam dalam perkara-perkara yang dibenarkan oleh Perlembagaan yang telah pun digunapakai dan dilaksanakan sedari kemerdekaan lagi. P

indaan RUU ini juga tidak bermaksud untuk menambah bidang kuasa baru ke atas Mahkamah Syariah dan tidak akan melibatkan orang bukan Islam seperti yang dipropagandakan.

Menjawab tuduhan kedua – ke arah melaksanakan Hudud

I-Peguam juga menyelar tuduhan yang diuarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa pindaan RUU ini adalah langkah awal perlaksanaan hudud dalam negara ini.

Seperti yang telah dibincangkan di atas, tidak ada pertambahan kategori-kategori jenayah Islam terkandung dalam cadangan pindaan tersebut. Ia hanya melibatkan pertambahan kadar hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah sedia ada.

RUU ini juga mustahil untuk membuka laluan ke arah perlaksanaan hudud. Hal ini kerana pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Contohnya bagi melaksanakan Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan; 4 bersifat individu atau dosa peribadi iaitu Zina, Menuduh Zina (Qazaf), Minum Arak dan Murtad, manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti Mencuri dan Merompak. Pada masa kini hanya 4 jenis kesalahan yang melibatkan dosa peribadi (Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudah ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 ini tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan.

Justeru, pindaan RUU ini hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri dan tidak menjurus ke arah perlaksanaan Hudud seperti yang digembar-gemburkan.

Tentangan terhadap pengukuhan kedudukan Islam

I-Peguam berpendapat bahawa tuduhan-tuduhan tidak berasas ini hanyalah sandiwara pejuang dan pemikir liberal bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap RUU secara spesifik, dan terhadap usaha-usaha memartabatkan institusi agama Islam serta pengukuhan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Tentangan-tentangan ini berlaku bukan sahaja terhadap RUU, malah kritikan juga diterima oleh golongan Islamis yang menentang penganjuran konsert Selena Gomez di Stadium Malawati Shah Alam, sambutan Oktoberfest beberapa tahun yang lalu, penganjuran acara ‘I want to touch a dog day’, kedatangan Dr. Zakir Naik penceramah perbandingan agama ke Malaysia, serta tuntutan tidak patuh Perlembagaan oleh COMANGO yang melobi Universal Periodic Review (UPR).

Lebih mengecewakan apabila usaha-usaha mendaulatkan serta menjaga keabsahan Islam dan kepercayaan umat Islam oleh institusi agama Persekutuan dan negeri seperti JAKIM, JAIS, Majlis Fatwa Kebangsaan, Mufti-Mufti serta NGO-NGO Islam disanggah dan dilabel sebagai usaha-usaha Islamisasi yang menjadi punca lahirnya pengganas-pengganas ekstremis seperti Islamic State (IS) dan Daesh.

Tidak kurang juga kenyataan tidak berasas yang mengatakan bahawa Malaysia ini sebuah Negara sekular tanpa pembuktian jelas dan kukuh dari aspek undang-undang dan sejarah.

Kumpul kekuatan pertahankan Islam

I-Peguam menyeru umat Islam seluruh Malaysia agar peka dengan agenda berterusan serta terancang golongan pejuang liberalisme, sekularisme dan pluralisme yang semakin lantang mempersoalkan integriti dan kuasa institusi agama Islam serta ajaran Islam dengan menyebarkan propaganda dan persepsi yang negatif.

I-Peguam mendukung aspirasi dalam merealisasikan 5 Maqasid Syariah sebagai terjemahan kepada konsep sebenar Rahmatun Lil Alamin (rahmat kepada sekalian alam). Perlindungan agama Islam melalui undang-undang Syariah meliputi keseluruhan umat manusia dan makhluk di atas muka bumi ini, bukan hanya bermanfaat bagi umat Islam bahkan orang bukan Islam.

Ia bukan  hanya menawarkan penyelesaian kepada gejala sosial dan pencabulan nilai kemanusiaan bahkan ia juga mampu menyelesaikan kemelut yang melanda saban hari dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Semoga kita dapat bekerjasama membanteras sebarang anasir yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan semoga rakyat Malaysia dapat menerima cadangan pindaan RUU ini dengan minda yang terbuka dan jauh kehadapan.

Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam Muslim Malaysia (I-Peguam)

The post i-peguam menyokong RUU Akta Mahkamah Syariah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?