Jumlah mangsa rempuhan ‘trak maut’ meningkat 286
NICE (Perancis), Sabtu – Jumlah mangsa yang terbunuh dalam rempuhan ‘trak maut’ ketika sambutan Hari Bastille di pinggir pantai di sini, kelmarin, meningkat kepada 84 orang, manakala 202 lagi cedera, dengan pihak berkuasa mengesahkan penyerang sebagai Mohamed Lahouaiej Bouhlel, 31.
Pihak berkuasa Perancis mendedahkan Mohamed Lahouaiej adalah penduduk tempatan, tetapi dilahir dan dibesarkan di Tunisia, sebelum datang ke negara itu.
Serentak itu, Perancis melanjutkan perintah darurat dalam negara dan menyerap kejutan serangan pengganas yang ketiga dalam tempoh 19 bulan.
Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls, selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Presiden François Hollande, berkata negara itu tidak akan tunduk kepada ancaman pengganas.
“Masa telah berubah dan Perancis kini terpaksa hidup dalam ruang keganasan,” katanya.
Bermula kira-kira jam 10.45 malam Khamis lalu, penyerang merempuh sekumpulan pengunjung di laluan pejalan kaki di tepi pantai Nice ketika pertunjukan bunga api, menggunakan trak sejuk beku seberat 19 tan, terbabit dengan tembak menembak dengan polis yang mengejarnya sebelum ditembak mati.
Polis menyerbu dua lokasi di sini semalam, termasuk rumah yang diduduki oleh penyerang. Bekas isteri Mohamed Lahouaiej, ditahan untuk soal siasat.
Tiada pertubuhan yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu. Bagaimanapun, media sosial yang menyokong IS dan Al-Qaeda, gembira dengan serangan itu.
Mohamed Lahouaiej dilaporkan mempunyai latar belakang jenayah kecil-kecilan, termasuk mencuri, tetapi tidak disenaraikan oleh perisik sebagai pengganas atau berfahaman radikal.
Penyerang itu dikatakan menyewa sebuah trak pada Isnin lalu daripada sebuah syarikat di Saint-Laurent-du-Var – sebuah bandar kira-kira enam batu di timur Nice sebelum memakirnya di kawasan kejiranan Auriol di timur Nice.
Berdasarkan rakaman pengawasan awam, lelaki terbabit tiba di Auriol dengan berbasikal. Dia kemudian memandu trak itu dan tiba di kejiranan Magnan – di utara Promenade des Anglais – kawasan peranginan tepi pantai.
Kira-kira 15 minit kemudian dia mula merempuh orang ramai yang datang menyaksikan acara bunga api sempena sambutan Hari Bastille.
Tidak jauh dari sebuah hotel, lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah tiga anggota polis yang membalas dan mengejarnya. Mereka kemudian menembak mati Mohamed Lahouaiej. Di dalam kabin trak, polis menemui sepucuk pistol automatik selain beberapa dokumen.
Lapan puluh empat yang terbunuh itu termasuk 10 kanak-kanak dan remaja. Manakala, daripada 202 yang cedera pula, 52 parah dan 25 dirawat di unit rawatan rapi. – Agensi
The post Jumlah mangsa rempuhan ‘trak maut’ meningkat 286 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan