Kenakan tindakan sama ke atas pemilik kedai tanpa logo halal
- Dapatkan pautan
- E-mel
- Apl Lain
KUALA LUMPUR, Selasa – Kedai atau restoran yang tidak mempunyai logo halal namun menjual barangan diragui statusnya perlu dikenakan denda yang sama sebagaimana pemilik sijil halal.
Pengarah Penyelidikan dan Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Izham Nayan berkata, walaupun tanpa sijil dan logo halal namun undang-undang halal perlu disama ratakan ke atas setiap pengusaha kedai dan restoran yang menjual barangan tidak halal.
“Jika dia tidak memiliki logo atau sijil halal sekalipun, tetapi apabila didapati dia menjual barangan tidak halal, maka dia boleh dikenakan cas (denda).
“Jika menjual barangan tidak halal, maka peniaga perlu melabelkan barangan yang tidak halal.
“Sekarang, peniaga yang tiada label halal, tetapi jual barangan tidak halal dilepaskan tetapi peniaga yang miliki logo halal jika berbuat demikian maka akan dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Pelancaran Kempen Kesedaran Pemakan Halal dan Selamat di sini, hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu beliau berkata, kini penggunaan logo halal hanya dikategorikan sebagai label untuk memajukan dan mempromosikan perniagaan semata-mata.
“Logo halal menjadi logo promosi. Halal diletakkan setaraf dengan promosi,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Izham mahu supaya undang-undang diperketatkan atau digubal semula bagi mengukuhkan lagi institusi Islam di negara ini.
“Ini berikutan supaya peniaga atau pemilik kedai yang tidak mempunyai label halal juga boleh dicas, jika didapati mereka menjual barangan tidak halal,” katanya.
The post Kenakan tindakan sama ke atas pemilik kedai tanpa logo halal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan