Kerajaan usah cakap soal Islam lagi jika RUU tak lulus

Aminuddin Yahaya Ketua Biro Politik ISMA
Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Isnin – Kerajaan bertanggungjawab dan berperanan dalam memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi menaik taraf Mahkamah Syariah di Malaysia yang dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dapat dilaksanakan.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia, Haji Aminuddin Yahaya berkata, ia bergantung kepada kerajaan terutama dalam menundukkan rakan politiknya iaitu MCA, Gerakan dan MIC supaya menerima RUU itu.

“Jika pemerintah tiada ‘political wills’, perkara ini tidak akan berjaya. Maksud saya kerajaan mampu menundukkan MCA, Gerakan, MIC dan parti di Sabah serta Sarawak.

“Jadi benda ini boleh selesai. Jika RUU ini gagal, maka lepas ini kerajaan jangan bercakap soal agama Islam kerana ia akan ditertawakan oleh rakyat berikutan Akta 355 ini adalah kayu ukur kepada orang Islam,” katanya ketika berucap dalam Wacana NGO Islam Kelantan, semalam.

Mengulas lanjut katanya, isu ini sering menjadi bahan kontroversi oleh golongan anti-Islam dan liberal dalam cubaan menggagalkan pelaksanaan undang-undang itu, termasuk mengelirukan rakyat.

“Pertama, isu ini melibatkan Islam dan bukan Islam. Kedua, adakah ia melibatkan pelaksanaan hudud walaupun ia sering dijelaskan dan sebagainya.

“Ketiga, ia melibatkan keadilan. Contohnya zina, jika ia libatkan orang Islam maka ia hanya melibatkan hukum syariat, tetapi jika berlaku antara Islam dan bukan Islam, maka yang Muslim akan ke Mahkamah Syariah, manakala bukan Islam ke mahkamah sivil.

“Jadi perkara-perkara ini sering digunakan oleh golongan liberal dan anti-Islam dalam mengelirukan rakyat,” katanya.

Malah Haji Aminuddin berkata, usul ini sepatutnya dibuat oleh kerajaan, bagaimanapun ia sebaliknya dibentangkan oleh pembangkang.

“Selalunya sebelum pindaan ini dibuat, prosiding ini melalui Peguam Negara, kemudian akan bincangkan pada Majlis Raja-Raja, Kabinet dan baru dibawa dalam Parlimen.

“Tetapi kali ini tidak dijelaskan pada Majlis Raja-Raja. Dan ia terbalik apabila ia dibuat oleh pembangkang walaupun boleh, sebab profesion dalam Parlimen yang membolehkan mana-mana Ahli Parlimen yang dipanggil Persendirian.

“Namun, akibatnya ia kemungkinan akan ada raja atau sultan yang tidak bersetuju dan mencetuskan kepada masalah teknikal,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Hadi membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Usul berkenaan bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

The post Kerajaan usah cakap soal Islam lagi jika RUU tak lulus appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?