Klinik Kesihatan Kuala Lumpur bakal tampung 4,000 pesakit sehari
KUALA LUMPUR, Selasa – Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di Jalan Fletcher yang kini hampir siap dibina merupakan satu-satunya klinik kerajaan terbesar yang mampu merawat sehingga 4,000 pesakit sehari.
Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Titiwangsa, Dr Mahanim Md Yusof, ia dibina dengan reka bentuk ‘Super Type 1 Clinic’ yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang besar serta perkhidmatan kepakaran keluarga lebih ramai.
Ia akan turut menempatkan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur (JPLHKL).
Dibina dengan kos kira-kira RM50 juta sejak 2014 di kawasan berkeluasan 1.3 hektar, ia merupakan klinik kesihatan ke-17 di bawah seliaan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Memberitahu Bernama, beliau berkata perkhidmatan yang disediakan di klinik itu adalah sama seperti perkhidmatan asas yang terdapat di klinik kesihatan lain iaitu perkhidmatan pesakit luar, pergigian, kesihatan ibu dan anak, kesihatan sekolah dan farmasi.
“Kesemua perkhidmatan ini diketuai Pakar Perubatan Keluarga. Perkhidmatan tambahannya pula ialah x-ray, makmal, pakar pemakanan dan zat makanan serta rehabilitasi,” kata Dr Mahanim.
Beliau berkata untuk keselesaan orang ramai yang datang bagi mendapatkan rawatan, turut disediakan kafetaria, kedai serbaguna, pusat sumber diabetes, surau dan taman permainan kanak-kanak.
“Pembinaan klinik ini adalah selaras dengan perancangan Kementerian Kesihatan untuk membina sebuah klinik bagi setiap daerah supaya penduduk tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan,” ujarnya.
Klinik ini akan memberi khidmat rawatan bagi penduduk sekitar Zon Parlimen Titiwangsa dan Zon Parlimen Setiawangsa.
Beliau menganggarkan jumlah pesakit yang mampu diterima klinik ini melebihi 3,000 orang sehari berbanding klinik lain yang kebiasaannya menampung antara 800 hingga 1,000 pesakit sehari.
“Mengambil kira pola kedatangan pesakit, ia dijangka turut menerima pesakit dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri sekitarnya,” tambahnya.
Dr Mahanim juga berkata dengan terdapatnya klinik berkenaan, Hospital Kuala Lumpur hanya akan menempatkan klinik-klinik pakar bagi pelbagai jenis rawatan.- Bernama
The post Klinik Kesihatan Kuala Lumpur bakal tampung 4,000 pesakit sehari appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan