Mahkamah Greek jatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap lapan pegawai Turki
GREECE, Jumaat – Lapan pegawai Turki yang melarikan diri ke Greece dengan menggunakan helikopter tentera semasa cubaan rampasan kuasa minggu lalu telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Greek.
Mahkamah itu menjatuhkan hukuman terhadap enam juruterbang dan dua jurutera itu semalam atas sebab memasuki Greece secara haram.
“Mahkamah mendapati mereka bersalah memasuki Greece secara haram, tetapi tidak bersalah terbang secara haram di Greece kerana tuduhan penerbangan menyalahi undang-undang ke atas Greece tidak berkaitan dengan pesawat tentera dan helikopter,” kata wartawan Antonis Repenas, melaporkan dari Alexandroupolis.
Turki telah menuntut agar mereka dikembalikan supaya mereka dibicarakan berhubung cubaan rampasan kuasa Jumaat lalu.
Namun, kelapan-lapan pegawai itu menafikan penglibatan dan telah memohon suaka kerana mereka bimbang akan keselamatan mereka di kala Turki sedang melakukan pembersihan dalaman yang meluas selepas cubaan penggulingan kerajaan.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang disebabkan kepada Greece tetapi kami bertindak tanpa mempunyai apa-apa alternatif.
“Kami tidak terlibat dalam cubaan rampasan kuas. Kami bangga berkhidmat dalam angkatan tentera negara kami dan komited kepada demokrasi dan hak asasi manusia,” kata lapan defendan dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan oleh peguam mereka.
Permohonan suaka kumpulan itu telah diperiksa dan mereka akan hadir di hadapan pihak berkuasa imigresen untuk kali kedua pada 27 Julai untuk ditemuduga.
Lapan pegawai itu mendarat di lapangan terbang bandar utara-timur Alexandroupolis awal Sabtu menggunakan sebuah helikopter Black Hawk selepas mengeluarkan isyarat mayday dan meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan. – Agensi
The post Mahkamah Greek jatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap lapan pegawai Turki appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan