Mahkamah Tinggi tolak saman Jamil Khir terhadap Akmal
Gambar: Free Malaysia Today
KUALA LUMPUR, Khamis – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman fitnah yang difailkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir.
Saman berkenaan adalah berhubung dakwaan menyalahgunakan duit tabung anak yatim dan miskin melalui institusi di bawah kawalan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu dalam kamar beliau selepas membenarkan permohonan Akmal untuk membatalkan saman itu.
Ia berikutan Hakim mendapati Jamil Khir selaku pihak plaintif memfailkan saman itu atas kapasitinya sebagai Menteri dan bukan peribadi.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Akmal Nasir berkata, Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa personaliti terkemuka yang memegang jawatan awam tidak boleh mengemukakan saman fitnah atas kapasiti rasminya.
Pada 19 November lalu tahun lalu, Jamil Khir memfailkan saman dengan mendakwa Akmal telah memfitnahnya ketika memberikan kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 November tahun lalu.
Jamil Khir mendakwa antara kata-kata fitnah itu adalah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah membabitkan kos antara RM410,978 dan RM590,000.
The post Mahkamah Tinggi tolak saman Jamil Khir terhadap Akmal appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan