Malaysian Official 1: Muhyiddin gesa Apandi tanya Peguam Negara AS, henti lindungi Najib
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Jumaat – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali berhenti melindungi salah laku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaliknya bertindak menyiasat siapa Malaysian Official 1 sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Apandi sepatutnya bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika Syarikat berhubung identiti sebenar Malaysian Official 1 yang terlibat dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Disebut dengan terang dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia. Yang kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu dalam akaun peribadi di Ambank selain Najib!
“Yang sepatutnya dibuat oleh Peguam Negara Malaysia bukan melindungi Najib.
“Dia sepatutnya terperanjat dengan penemuan pasukan penyiasat AS dan terus menghantar pasukan penyiasat Malaysia ke AS untuk mengambil tindakan susulan demi memelihara kepentingan rakyat Malaysia yang telah kehilangan wang berbilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut perkara itu, Muhyiddin berkata, Apandi juga sepatutnya telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB.
“Bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara asing menemuinya?
“Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara? Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia untuk melindungi kepentingan negara!,” katanya.
Beliau dalam kenyataan sama turut meminta Majlis Raja-Raja bertindak dan tidak membiarkan Najib daripada terus merosakkan imej Malaysia termasuk memusnahkan khazanah negara.
“Majlis Raja-Raja boleh bertindak menjadi benteng terakhir pelindung hak rakyat dan negara!
“Majlis Raja-Raja tidak menyalahi mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia atas semangat Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu untuk memelihara kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman AS memberitahu akan menyita aset bernilai lebih AS$1 bilion milik individu dan syarikat selepas mereka menyiasat aliran dana 1MDB, dan mendakwa ‘Malaysian Official 1’ menerima jutaan dolar dari 1MDB.
Individu tidak dinamakan itu dirujuk sebanyak 32 kali dan dinyatakan sebagai ‘pegawai tinggi kerajaan Malaysia’.
The post Malaysian Official 1: Muhyiddin gesa Apandi tanya Peguam Negara AS, henti lindungi Najib appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan