PAS minta pembangkang bersatu lawan UMNO, henti serang sama sendiri
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Rabu – PAS meminta parti-parti pembangkang berhenti menyerang sesama sendiri dan terus memberi tumpuan menumbangkan Barisan Nasional dan UMNO.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini berikutan keadaan politik pembangkang hari ini menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.
“Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar (Umno-BN).
“Jangan pedulikan tulisan murahan cybertrooper yang suka melagakan antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat.
“Apa yang penting dilihat ialah masa depan negara. Kerana masa depan rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAS dan blok Pakatan Harapan (PKR, PAN dan DAP) perlu mencari titik kompromi dengan bertolak ansur antara satu sama lain.
“Banyak persamaan yang perlu diutamakan berbanding hanya beberapa perkara sahaja yang berbeza.
“Dalam mewujudkan toleransi politik yang baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan mengecilkan ruang perbezaan,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, walaupun PAS sedia berkompromi dan bertolak ansur namun parti itu tidak akan mengorbankan prinsip serta dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangannya.
“Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa PAS adalah titik perbezaan, langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia sebagai titik pertikaian selagi PAS memperjuangkan dasarnya dalam ruang demokrasi yang ada.
“Dengan niat yang betul, kompromi boleh dicapai dengan hanya memokuskan apa yang boleh disumbangkan oleh setiap parti tanpa perlu menggadaikan dasar parti masing-masing.
“Jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti pembangkang bersedia untuk menang jadi arang, kalah jadi abu di PRU akan datang.
“Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN,” katanya.
The post PAS minta pembangkang bersatu lawan UMNO, henti serang sama sendiri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan