Pensyarah UTM yang menyinggung penganut Sikh, Hindu dipecat

idris-jusoh_M_140415

PUTRAJAYA, Khamis – Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terlibat dengan kontroversi bahan pengajaran mata pelajaran Tamadun Islam dan Asia Tenggara (TITAS) yang menyinggung sensitiviti penganut agama Hindu dan Sikh telah dipecat semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata pemecatan pensyarah berstatus kontrak itu dibuat oleh universiti berkenaan kerana beliau tidak mengikuti modul yang telah disediakan oleh kementerian.

“Modul yang dikeluarkan merupakan garis panduan kepada semua pensyarah dan kejadian ini berlaku kerana pensyarah tersebut tidak mengikuti garis panduan yang diberikan.

“Pihak UTM telah menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa orang profesor daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama dan mengakui apa yang diajar oleh pensyarah itu adalah tidak selari daripada apa yang sepatutnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Justeru, Idris meminta semua pihak pentadbiran universiti-universiti di negara ini supaya sentiasa memantau perkara tersebut bagi mengelak kejadian yang sama berulang di masa hadapan.

Sementara itu, mengenai ancaman militan Daesh, Idris berkata pertemuan akan diadakan dengan semua naib canselor universiti awam dan swasta pada 20 Julai ini agar mereka faham dan tidak menganggap perkara itu sengaja direka.

“Selepas itu, kita akan adakan majlis-majlis penerangan kepada para pelajar dan pensyarah bagi memberitahu kepada mereka maksud jihad, bai’ah, serta Islam yang sebenarnya dan tidak mahu mereka mudah terikut-ikut.

“Kita juga telah mengadakan perjumpaan dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen untuk menggariskan beberapa tindakan yang perlu diambil,” katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan tiga buah buku panduan di bawah Program Tranformasi Universiti (UniTP) bagi membantu universiti awam melaksanakan transformasi di universiti masing-masing.

Buku-buku tersebut bertajuk, ‘Enhancing Academic Productivity and Cost Efficiency’ (UniTP Silver Book), ‘Strengthening Academic Career Pathaway and Leadership Development’ (UniTP Orange Book) dan ‘Enhancing University Income Generation, Endownment and Waqf’ (UniTP Purple Book).

Buku pertama sebelum ini iaitu ‘Enhancing Universiti Board Governance and Effectiveness’ (Green Book) telah dilancarkan pada September tahun lalu.- Bernama

The post Pensyarah UTM yang menyinggung penganut Sikh, Hindu dipecat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?