Remaja Palestin maut ditembak askar rejim Zionis
RAMALLAH, Rabu – Seorang remaja Palestin terbunuh, manakala seorang lagi cedera selepas tentera rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka di bandar al-Ram, daerah Jerusalem di Tebing Barat.
Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Anwar al-Salaymeh, 22, manakala mangsa yang kini masih kritikal adalah Khader al-Rishq, 20.
Seorang lagi mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Nassar, 20, ditahan oleh tentera Israel selepas kejadian itu.
Saksi mengesahkan bahawa tentera Israel telah menutup jalan utama di al-Ram dan menyerbu sebuah bengkel besi di kawasan itu.
Kenderaan mangsa dilaporkan menghampiri kawasan di mana serbuan berlaku, dan tentera Israel bertindak melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah kereta berkenaan.
Bagaimanapun jurucakap Israel berkata, kejadian itu berpunca apabila tentera melihat kenderaan dipandu laju menuju ke arah mereka lalu tentera Israel bertindak melepaskan tembakan sehingga menyebabkan salah seorang penumpang terbunuh.- Agensi
The post Remaja Palestin maut ditembak askar rejim Zionis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan