#SayNoToMaksiat : Pembina bantah konsert Selena Gomez
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, Khamis – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menolak sekeras-kerasnya penganjuran konsert artis antarabangsa, Selena Gomez yang bakal diadakan di Stadium Tertutup Melawati pada 25 Julai ini.
Ketua Beliawanis Pembina, Khairunnisa Mazlan berkata, pihaknya turut mengecam sikap materialistik penganjur konsert yang mempromosikan hedonisme Barat.
Beliau menyifatkan penganjur seperti kapitalis yang menjadi kaya raya dengan menjual racun untuk membunuh akhlak, merosakkan pemikiran dan masa berharga anak muda di Malaysia.
Bahkan, katanya, pihak penganjur langsung tidak memikirkan kesan sosial dan akhlak di kalangan mahasiswa dan belia di Malaysia.
“Sikap materialistik penganjur konsert ini dikecam sekeras-kerasnya, di mana syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan berlipat ganda dari penjualan tiket dan penajaan yang boleh mencapai kutipan dan penajaan jutaan ringgit!
“Mereka tidak sensitif dengan rakyat Malaysia yang menolak konsert hiburan yang membuang masa, merugikan wang ringgit dan tidak menyumbang kepada pembangunan akhlak dan sahsiah rakyat Malaysia!
“Sudahlah mengaut keuntungan, mereka tidak peduli apa jadi pada anak bangsa,” tegas Khairunnisa dalam kenyataannya di laman Facebook rasmi Pembina, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairunnisa berkata, konsert ini juga dikhuatiri mencemarkan kemuliaan bulan Syawal kerana konsert berkenaan mencampurkan lelaki dan perempuan dengan hiburan yang melampau.
“Lupakah kita pada kes kematian akibat pengaruh dadah, artis Kpop yang memeluk dan mencium anak gadis Melayu, yang berlaku ketika konsert-konsert hiburan berlangsung?
“Pihak penganjur dan Selena Gomez perlu menghormati pendirian dan prinsip rakyat Malaysia beragama Islam yang tidak bersetuju konsert ini diadakan di negara ini,” tegasnya lagi.
Justeru, beliau menyeru rakyat Malaysia terutama sekali mahasiswa yang beragama Islam untuk melihat situasi ini dalam konteks kesan jangka masa panjang kepada generasi muda Malaysia.
“Marilah kita berfikir lebih jauh dari kepentingan diri dan kehendak peribadi, dan memikirkan akibatnya kepada masyarakat, negara dan generasi akan datang.
“Konsert ini bukan yang terakhir, jika kita tidak bertindak, ia akan diteruskan dengan pelbagai konsert-konsert hiburan lain yang akan berterusan melalaikan, merugikan masa dan wang ringgit anak muda Malaysia.
“Tunjukkan solidariti menolak penganjuran konsert-konsert hiburan ini, kita ajar para kapitalis-kapitalis itu, “Malaysia bukan destinasi untuk Konsert Hiburan!”,” katanya.
Atas dasar nahi mungkar, Pembina turut memperkenalkan hashtag #SayNoToMaksiat untuk menyeru semua umat Islam menolak pelaksanaan konsert yang bakal diadakan Isnin hadapan bersamaan 20 Syawal itu.
The post #SayNoToMaksiat : Pembina bantah konsert Selena Gomez appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan