Siri letupan adalah bidak-bidak di papan catur
Sejak awal isu IS atau Daesh dibicarakan oleh media, perkembangannya penuh dengan elemen-elemen yang meragukan.
Komplot Yahudi yang mencaturkan peperangan demi peperangan semenjak Revolusi Perancis, memang bijak menggunakan sumber-sumber tempatan yang berkepentingan bagi menjayakan agenda mereka. Bukan susah dan bukan luar biasa untuk mereka jayakan agenda, hatta melalui tangan-tangan musuh mereka sendiri.
Islamic State In Iraq and Syria (ISIS) bukan sahaja memangsakan rakyat Syria dan Iraq, bahkan secara tidak langsung ia turut menjebak warga negara Malaysia ke dalam kancah kekeliruan pemikiran, yang mampu mengancam keselamatan negara.
Hakikatnya, melalui isu IS, mereka memangsakan golongan pemuda muslim yang radikal dan jahil, selain memangsakan golongan muslim yang berfikiran liberal sekular yang memasungkan pemikiran menurut acuan falsafah Barat.
Melalui tangan dua kelompok sumber-sumber tempatan ini (umat Islam sendiri dan di tanah air mereka sendiri), kedaulatan tanah air umat Islam mudah diratah-ratah.
Kita teliti kelompok yang pertama dahulu.
Menurut satu laporan kajian RAND Corporation, sebuah badan kajian terbesar di Amerika, umat Islam terbahagi kepada beberapa aliran pemikiran seperti aliran tradisional, sufi, liberal, sekular, radikal, fundamentalis, Syiah dan lain-lain.
Laporan kajian itu selanjutnya mengesyorkan kepada kerajaan Amerika agar memanfaatkan perpecahan sedia ada ini demi kepentingan Amerika.
Suasana politik dan keselamatan yang tidak stabil di Iraq sejak penjajahan Amerika serta situasi perang saudara di Syria boleh diumpamakan sebagai habitat yang begitu selesa bagi agen-agen keselamatan Amerika untuk menyusup masuk ke dalam gerakan radikal.
Penyusupan ini bertujuan untuk menyusun babak-babak perang saudara yang tidak berkesudahan, melalui posisi berpengaruh dalam gerakan radikal terbabit.
Mereka mengeksploitasi slogan-slogan perjuangan pembebasan tanahair dan jihad Islam, sambil melakukan tindakan-tindakan yang mengundang tindak balas keras daripada pelbagai pihak, terutamanya umat Islam sendiri. Hakikatnya, peristiwa itu dirancang untuk mencipta ruang bagi campurtangan dan perluasan hegemoni Amerika.
Kisah Amerika memberi bantuan dan dukungan kepada tentera Taliban di Afghanistan bukan suatu rahsia lagi. Portal berita guardian.com pernah melaporkan bahawa hampir tiada seorang pun orang Afghan yang tidak percaya bahawa Amerika membiayai Taliban untuk memastikan konflik di Afghanistan tidak berakhir, yang menuntut campurtangan Amerika lebih lama di negara malang itu.
Senario Taliban di Afghanistan diulang tayang di Iraq dan Syria, dengan episod yang lebih ganas dan tragis.
Sebagaimana medan di Afghanistan pernah menarik beberapa anak muda Malaysia untuk terlibat, begitu juga “jihad” yang dilancarkan oleh ISIS membawa aura yang hampir serupa. Bahkan kali ini dengan menggunakan nama “Khalifah” dan “Negara Islam”.
Slogan indah itu mengocak minda anak muda yang mengimpikan kedaulatan Islam dan pelaksanaan syariah. Semangat anak muda yang tiada bekalan kefahaman yang menyuluh, ditambah pula perasaan kecewa dengan senario perbalahan politik umat Islam di negara ini yang tidak berkesudahan, merupakan faktor-faktor semula jadi yang menyebabkan mereka mudah tergoda dengan slogan “jihad” yang dilaungkan oleh ISIS.
Seorang pemuda pernah bertanya kepada saya, “Tidakkah kita dituntut untuk menegakkan dan mengembalikan kegemilangan Khilafah?”.
Pemuda tersebut mengakui menganggotai sebuah gerakan yang sering melaungkan penegakan Khilafah dan menolak sistem demokrasi.
Malangnya gerakan berkenaan, yang sering menyebarkan risalah pemikiran mereka di masjid-masjid di negara ini, tidak mempunyai idea yang jelas mengenai wasilah atau kaedah untuk mencapai cita-cita mereka.
Kelompongan besar itu mudah sahaja diisi dengan seruan “jihad” ISIS. Ini mangsa ISIS yang pertama.
Mari kita teliti kelompok kedua pula.
Amerika bukan sahaja membiayai kumpulan radikal seperti Taliban, bahkan negara kuasa besar itu, menerusi agensi-agensi seperti USAID, NED, NDI dan sebagainya, turut memberi bantuan kewangan dan teknikal secara terang-terangan kepada kelompok yang termakan dengan dakyah media Barat mengenai ISIS.
Kelompok ini berasa kagum dan malu kepada dunia Barat yang mereka anggap jauh bertamadun berbanding umat Islam yang sentiasa bergelut dengan masalah perpecahan, peperangan dan keganasan yang tidak berkesudahan. Inilah kelompok kedua, mangsa ISIS di Malaysia.
Mereka sangat percaya bahawa jalan keluar bagi umat Islam daripada kemelut yang dihadapi ialah dengan melaksanakan demokrasi ala Barat yang dicanangkan oleh Amerika.
Mereka mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular dan liberal. Sehubungan itu, mereka tanpa segan silu menerima bantuan dan sokongan Amerika, walaupun langkah-langkah mereka boleh meruntuhkan ketuanan umat Islam di bumi sendiri.
Mereka menyerang dan menghentam institusi Islam dan Raja di negara ini. Tindakan penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Agama Islam dicop sebagai Taliban.
Pesalah syariah mereka bela. Mereka sanggup bersekongkol dengan pihak yang secara sengaja menyebarkan doktrin bukan Islam di kalangan umat Islam, yang merupakan satu kesalahan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berdepan dengan kecelaruan pemikiran yang kronik ini, Ikatan Muslimin Malaysia tampil untuk menyelamatkan anak muda kita daripada terjebak dalam kedua-dua arus songsang tersebut, seterusnya mendidik dan membimbing mereka dengan kefahaman Islam yang syumul dan betul, sebagaimana yang ditunjuk ajar oleh Baginda S.A.W.
Kefahaman ini diperteguhkan dengan aktiviti-aktiviti yang disusun sepanjang tahun, agar potensi hebat yang mereka miliki dapat disalurkan ke arah proses pembinaan generasi pemimpin yang mampu menunjukkan contoh dan teladan secara kolektif sebagai sebaik-baik umat yang dinanti-nantikan dunia Islam.
Peristiwa siri letupan di beberapa negara umat Islam kebelakangan ini merupakan satu usaha untuk merebakkan suasana tidak stabil di Iraq dan Syria ke negara-negara yang menjadi sasaran untuk dimamah oleh komplot Yahudi antarabangsa.
Mereka mahu kita bersengketa dan berbunuhan sesama sendiri. Wahai umat Islam, ambillah pengajaran daripada segala yang terjadi di negara-negara timur tengah. Semoga Allah Taala membantu kita melalui jalan yang betul dan diredhai-Nya bagi melepasi ujian yang hebat ini. Amin.
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Ketua Penerangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Ulasan
Catat Ulasan