Tahanan IS berjaya pengaruh tujuh pegawai penjara: TPM
BANGI, Jumaat – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, tahanan militan IS telah berjaya mempengaruhi tujuh pegawai penjara dengan ideologi mereka.
Bagaimanapun katanya, ke semua pegawai penjara itu telah dihantar untuk menjalani deradikalisasi atau pemulihan semula daripada pengaruh itu.
“Ini mungkin berita yang membimbangkan tetapi saya mengakui bahawa tujuh pegawai yang menjaga tahanan pengganas di penjara telah dipengaruhi mereka, dan kita terpaksa menghantar mereka untuk deradikalisasi,” katanya kepada pemberita, semalam.
Ini secara tidak langsung katanya, menerangkan mengapa semua militan IS yang ditahan perlu diasingkan daripada banduan biasa.
“Kami telah mula mengasingkan tahanan ini yang kita panggil sebagai penjenayah ideologo kerana mereka didorong oleh pemikiran mereka.
“Kita tidak mahu banduan lain terpengaruh dengan mereka,” katanya.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pusat tahan Kamunting di Taiping yang pernah dijadikan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan untuk menahan individu disyaki pengganas.
“Kami telah baik pulih dan bina sebuah blok baru bagi suspek yang ditahan,” katanya.
Katanya lagi, pakar psikologi dan ulama juga akan diambil untuk membantu pihak berkuasa membendung penyebaran fahaman keganasan.
“Selain Jabatan Penjara dan polis, usaha kita akan melibatkan ahli psikologi daripada Kementerian Kesihatan dan universiti,” katanya.
The post Tahanan IS berjaya pengaruh tujuh pegawai penjara: TPM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan