Tiada minat antara faktor 26.6 peratus belia meluat pekerjaan sendiri
KAJIAN yang dilakukan oleh SkootJobs.com iaitu laman web mencari kerja menyatakan bahawa 26.6 peratus responden yang terdiri daripada belia di Malaysia tidak menyukai pekerjaan mereka. Seramai 15,000 responden terlibat dalam kajian atas talian ini.
Rujuk: 26.6 peratus belia Malaysia meluat dengan pekerjaan sendiri: Kaji selidik
Namun berita yang disiarkan tidak dinyatakan dengan jelas apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini. Cuma dinyatakan kesan-kesan yang berlaku kepada majikan dan syarikat antaranya, permasalahan ini (pekerja tidak suka pekerjaannya) akan memberi kesan terhadap produktiviti syarikat, dan perkara ini juga menjadi antara punca yang menyumbang kepada statistik kes bunuh diri di Malaysia.
Selain itu, dinyatakan juga peranan majikan agar memilih pekerja yang terbaik melalui pengiklanan yang mampu menarik bakat-bakat hebat, dan juga memberikan perhatian terhadap pekerja dengan membuatkan kehadiran mereka dirasai serta memberi dorongan-dorongan tertentu untuk menjadikan mereka suka pada pekerjaan tersebut.
Satu kajian yang dilakukan oleh pelajar UTHM, menyatakan bahawa antara punca pekerja tidak menyukai pekerjaan mereka adalah kerana tiada minat. Ramai graduan universiti yang sebenarnya masih keliru dan tidak tahu apakah minat sebenar mereka, lantas bekerja dalam bidang yang tidak diminati.
Namun, perkara ini amat berkait rapat dengan persaingan di alam pekerjaan hari ini. Menurut kajian yang sama, 96.33 graduan Bumiputera yang menganggur. Ini menyebabkan persaingan mendapatkan kerja sangat tinggi, lantas menyebabkan para graduan memohon apa saja pekerjaan yang ada agar tidak lagi menganggur dan memulakan kerjaya mereka.
Kesannya ialah, apa yang dilaporkan hari ini, belia tidak menyukai pekerjaan mereka, kerana bekerja di bidang yang bukan mereka sukai, bahkan berbeza terus dengan bidang pengajian mereka ketika di universiti dahulu. Ini adalah salah satu faktor.
Antara faktor lain ialah peranan yang dimainkan oleh pihak majikan dalam memastikan motivasi pekerja berada pada tahap yang baik. Ini dinyatakan dalam satu kajian di UNIMAS berkenaan faktor ganjaran dalam memotivasikan pekerja sokongan. Perkara yang diberi penekanan adalah hubungan harmoni antara majikan dan pekerja, keselamatan di tempat kerja dan kebajikan pekerja.
Selain itu, tidak dinafikan perkara ini juga berkait rapat dengan Generasi Y (Gen Y). Pekerja di kalangan belia hari ini merupakan mereka daripada Gen Y.
Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ,antara ciri-ciri Gen Y adalah mereka yang bekerja dalam kumpulan dan beranggapan bahawa semuanya telah disusun atur untuk mereka. Selain itu, Gen Y ini mengharapkan penyeliaan ketat dan ini menjadi antara faktor kepada tidak suka kepada pekerjaan mereka. Jurang antara generasi kepimpinan syarikat, Gen-Boomers dengan Gen Y menjadikan cara fikir dan cara kerja sedikit berbeza. Jika perkara ini tidak diurus dengan baik, ia akan menyebabkan hubungan majikan dan pekerja menjadi tidak harmoni.
Ini antara beberapa faktor yang dikenalpasti selain daripada banyak faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan yang dibangkitkan. Kita dapat lihat, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan yang aktif untuk mengatasi perkara ini.
Pihak majikan contohnya, perlu melihat kembali beberapa perkara antaranya kebajikan pekerja, peluang peningkatan dalam kerjaya, keselamatan pekerja, serta program-program latihan yang dapat meningkatkan motivasi pekerja lantas menyumbang kepada prestasi cemerlang pekerja, di samping melibatkan pekerja muda dalam perbincangan-perbincangan agar mereka sentiasa merasai dihargai dalam syarikat.
Pekerja-pekerja muda juga perlu mengubah cara fikir dan lebih bersedia mengharungi cabaran globalisasi masa kini. Dalam dunia persaingan yang amat sengit, memilih pekerjaan adalah sesuatu yang sukar. Justeru, jika berjaya mendapat kerja, bersyukurlah kerana terdapat beratus ribu orang muda lain yang masih menganggur. Seterusnya, cuba cari alasan yang kuat bagi mengekalkan motivasi agar dapat berkhidmat dengan cemerlang. Bak kata pepatah Inggeris “do what you love, or love what you do”.
Jika sekiranya kita masih tidak menyukai pekerjaan tersebut, saranan saya adalah menceburi bidang perniagaan. Ada banyak perniagaan yang boleh dilakukan, asalkan saja kita mempunyai ilmu, mentor yang berjaya dan sanggup membimbing, dan memiliki usaha sungguh-sungguh. Ramai anak muda hari ini yang menceburi bidang perniagaan dan ramai yang telah menjadi jutawan.
Sebagai anak muda, saranan saya adalah kita tidak mudah mengalah dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Samada sebagai seorang pekerja ataupun berniaga sendiri, kita perlu kuat, berusaha keras dan bijak menguruskan kerja dan perniagaan.
Kita tidak boleh terlalu lemah dan lembik kerana ini akan merugikan negara. Masa depan negara ini ditentukan oleh kita generasi muda hari ini. Jika kuat dan hebat generasi muda hari ini, maka kuat dan hebatlah masa depan negara kita. Namun jika sebaliknya, maka rugilah negara kita.
Nurul Aizam Zaini
Ketua Pemuda Isma Melaka
Rujukan:
The post Tiada minat antara faktor 26.6 peratus belia meluat pekerjaan sendiri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan