Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikaji semula
KOTA BHARU, Jumaat – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam proses mengkaji semula Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 selepas terdapat persatuan peniaga mendakwa akta berkenaan menyekat kebebasan mereka berniaga dan ia tidak merangsang pelaburan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya berharap satu mekanisme baharu dapat diadakan sebagai jalan penyelesaian supaya semua pihak iaitu peniaga dan pengguna berasa selesa.
“Jika bercakap soal kepenggunaan, sudah tentu ada peniaga dan pembeli. Jika peniaga berhemah, sudah tentu pengguna akan membeli barangan secara selesa tanpa syak wasangka.
“Hari ini, apa yang membuatkan kita selesa adalah akta itu sendiri di mana ia dapat membuktikan banyak barangan dijual dengan harga berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.
Beliau berkata kajian berkenaan dilakukan agar peniaga dapat berasakan terdapat keuntungan dan pengguna pula berasa harga berpatutan.
“Dalam isu ini, kita kena ada perjumpaan dengan semua pihak iaitu peniaga dan orang ramai supaya dapat mencari mekanisme baharu serta seterusnya memberikan keselesaan kepada semua pihak,” katanya.
Hamzah berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan bukannya untuk memberi ketidakselesaan kepada peniaga dan tidak timbul soal untuk menyekat peniaga daripada mencari keuntungan.
“Kita akan mencari mekanisme baharu bagi mengatasi apa sahaja masalah yang timbul termasuk membawanya ke jemaah menteri,” katanya.
Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dikuatkuasakan pada 1 April 2011 adalah akta amat penting bagi pengguna kerana ia dapat melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan. – Bernama
The post Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dikaji semula appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan