Cadang subjek ‘Interfaith Understanding’ kepada pelajar
KUALA LUMPUR, Isnin – Kementerian Pendidikan dicadang mewujudkan subjek ‘interfaith understanding’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman agama di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), Datuk Azman Amin Hassan berkata cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat bersama kementerian itu.
“Subjek ini diharapkan dapat mendidik terutamanya anak-anak kita memahami sekurang-kurangnya perkara asas tentang agama lain selain didedahkan mengenai perlembangan negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Forum antara Agama 2016 anjuran JKMPKA di sini hari ini.
Menurutnya, kajian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional menunjukkan masyarakat Malaysia kurang pengetahuan terhadap agama lain yang tidak dianutinya.
“Di negara lain contohnya di Amerika Syarikat, kanak-kanak di sana yang berusia seawal empat tahun sudah didedahkan dengan perlembangan negara mereka, mengapa tidak kita cuba juga untuk terapkan pengetahuan seperti itu di sini,” katanya.
Forum dua hari itu yang berakhir hari ini menyediakan platform kepada penganut pelbagai agama untuk membincangkan isu-isu berkaitan perpaduan negara dan keharmonian nasional.
Forum yang disertai kira-kira 100 orang itu turut berpeluang mengadakan sesi dialog bersama anggota panel seperti Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (Islam), Datuk Chia Lui Meng (Buddha) dan Dr M Bala Tharmalingam (Hindu).
JKMPKA yang ditubuhkan pada 2010 berperanan untuk menggalak serta memantapkan iklim perhubungan yang baik dalam kalangan pemimpin serta penganut pelbagai agama dalam usaha mewujudkan persahabatan berteraskan semangat saling hormat-menghormati dan bekerjasama di semua peringkat kepemimpinan serta akar umbi. — Bernama
The post Cadang subjek ‘Interfaith Understanding’ kepada pelajar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan