KDN minta syarikat pembekal selesaikan segera masalah kurang bekalan pasport
KUALA LUMPUR, Sabtu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada syarikat pembekal pasport agar menyelesaikan segera masalah kekurangan bekalan pasport, bukannya saling bertelagah sehingga menyusahkan orang ramai.
Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, syarikat pembekal yang baharu dilantik itu perlu membuktikan komitmennya sebagaimana perjanjian dalam kontrak.
Katanya, mereka tidak sepatutnya mencari salah mana-mana pihak dalam isu tersebut.
Justeru beliau mahu syarikat pembekal terbabit menghentikan segera segala kenyataan akhbar, sebaliknya perlu fokus kepada kerja hakiki iaitu membekal pasport dan memastikan masalah serupa tidak berulang.
“Vendor pasport ini perlu berhenti bertelagah, pastikan pembekalan pasport dapat berjalan dengan lancar semula.
“Isu ini menyusahkan rakyat yang mahu membuat serta memperbaharui pasport mereka dan saya terima banyak rungutan.
“Kakitangan Imigresen sudah bertungkus-lumus bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat tetapi disebabkan masalah melibatkan vendor, rakyat terpaksa menerima kesannya,” katanya.
Isu ini timbul apabila terdapat rungutan orang ramai yang terpaksa beratur panjang serta menunggu lama bagi membuat atau memperbaharui pasport, sedangkan sebelum ini proses tersebut hanya mengambil masa sejam.
Selain Kuala Lumpur, masalah berkenaan turut berlaku di negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak apabila jumlah pasport yang dimiliki pihak Imigresen jauh lebih sedikit berbanding permintaan daripada orang ramai.
Mengulas mengenai tindakan ke atas syarikat pembekal itu, Nur Jazlan berkata, KDN sedang meneliti kontrak vendor terbabit dan tidak menolak kemungkinan menyarankan agar Kementerian Kewangan bertindak.
“Keputusan itu terletak kepada Kementerian Kewangan kerana mereka yang meluluskan kontrak, tetapi jika tidak memenuhi syarat dalam kontrak, saya rasa Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan,” katanya.
The post KDN minta syarikat pembekal selesaikan segera masalah kurang bekalan pasport appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan