“Kenali Agama Lain” Dalam Sistem Pendidikan Negara – Gagasan Songsang Yang Cuba Dihidupkan Kembali.
Cadangan Pengerusi Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut ugama (JKMPKA), Datuk Azman Amin Hassan supaya Kementerian Pendidikan mewujudkan subjek ‘interfaith understanding’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman ugama di negara ini bukanlah perkara baru.
Sebagai makluman ringkas, jawatankuasa Kabinet di atas diwujudkan hasil dari cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2009 supaya mencari jalan penyelesaian terhadap pertelingkahan antara ugama dalam negara.
Pada tahun 2012, satu pertemuan antara jawatankuasa ini dengan Majlis Perundingan Ugama-Ugama Buddhist, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia (Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism [MCCBCHST] ) bagi membincangkan cara-cara untuk menanam nilai-nilai harmoni dan kefahaman ugama di sekolah-sekolah.
Ia turut mendapat sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran (ketika itu).
Isu ini kemudiannya “meletup” dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah di dalam Bible versi Bahasa Melayu yang “memanaskan” satu negara hingga melibatkan tindakan undang-undang di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Dunia maya juga tidak terkecuali dari terkena tempias kontroversi kalimah Allah di atas.
Dr Maszlee Malik, seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (juga merupakan seorang anggota syura Pertubuhan Ikram) telah memberi pandangannya, antara lain seperti berikut:
“Pada hemat saya, isu pengunaan nama Allah di kalangan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak telah dipolitikkan dan menemui kebuntuan akibat sikap prejudis pada kedua-dua belah pihak.
Isu tersebut hanyalah simptom kepada akar permasalahan yang lebih besar, iaitu kejahilan di antara penganut ugama-ugama di Malaysia berkaitan ugama lain.
Akibat kejahilan bersama ini, maka timbullah salah faham bersama (mutual misconception) yang pastinya menjadi ruang yang subur untuk prejudis, fitnah dan perselisihan faham.
Maka, saya menyeru agar pihak kementerian pelajaran untuk mengadakan subjek ‘ugama-ugama di Malaysia’ sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.
IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka. Begitu juga, subjek ugama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan ugama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.”
Sebelum ini, negara telahpun digegarkan dengan 11 Tuntutan IFC (InterFaith Commission) yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
[IFC (juga dikenali sebagai KUMPULAN ARTIKEL 11) digagaskan pertubuhannya oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, and Sikhism (MCCBCHS) atau pun Majlis Perundingan Ugama-Ugama Buddhist, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Malaysia melalui memorandumnya kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.]
Maklumat lanjutan tentang ancaman IFC dan tuntutan-tuntutan merbahayanya boleh diikuti di sini:
Pihak DAP, sebuah parti rasis cauvinis berideologikan Sosialisme seawal 2005 telahpun menyatakan sokongannya secara terbuka melalui kenyataan Ronnie Liu:
Membaca keseluruhan penerangan dan maklumat tentang IFC dan tuntutan-tuntutan jahatnya terhadap Islam, umat Islam dan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Malaysia sudah lebih dari cukup untuk menyedarkan umat Islam terhadap tragedi buruk yang bakal mereka hadapi dan alami nanti.
Di antara semua tuntutan IFC di atas, saya hanya akan fokus kepada SATU sahaja iaiatu Tuntutan Ke 11, yang berbunyi:
“11. Pelajaran ugama bukan Islam untuk penganut ugama itu hendaklah diajar di semua sekolah.”
Cuba kita bandingkan tuntutan di atas dengan cadangan/gesaan yang dikemukakan oleh Dr Maszlee Malik:
“… saya menyeru agar pihak kementerian pelajaran untuk mengadakan subjek ‘ugama-ugama di Malaysia’ sebagai subjek teras dan wajib ke atas semua pelajar-pelajar di Malaysia.
IPTA dan IPTS juga hendaklah mempunyai subjek tersebut juga sebagai salah satu subjek teras mereka. Begitu juga, subjek ugama Islam, perlu dihadiri semua memandangkan Islam merupakan ugama rasmi Malaysia yang perlu diketahui oleh setiap rakyatnya.”
(Satu pembetulan fakta – Islam adalah Agama bagi Persekutuan, bukan agama rasmi. Penggunaan istilah ugama rasmi menjadikan malaysia sebuah negara sekular. Terdapat banyak perbezaan antara agama rasmi dengan agama bagi Persekutuan).
Dan pandangan Datuk Azman Amin Hassan:
“Subjek ini (kefahaman antara-ugama – interfaith understanding – penulis) diharapkan dapat mendidik terutamanya anak-anak kita memahami sekurang-kurangnya perkara asas tentang ugama lain selain didedahkan mengenai perlembangan negara,”.
Tuntutan Ke 11 IFC hanya menuntut supaya pelajaran ugama bukan Islam (contohnya ugama Kristian) perlu diberikan juga kepada penganut ugama itu (Kristian) di sekolah-sekolah.
Manakala “seruan” Dr Maszlee Malik cuba pergi lebih jauh dari itu, seolah-olah menyediakan satu tapak/alasan kuat kepada gagasan yang menjadi cita-cita dan impian COMANGO, IFC, MCCBCHST dan tidak terkecuali JKMPKA.
Gesaan/gagasan ini sekiranya dilaksanakan hanya akan menyubur dan menyebarkan fahaman Pluralisma ugama secara sistematik dan berinstitusi (melalui sukatan pelajaran dan silibus pengajian/kurikulum) ke semua peringkat pendidikan nasional – dari sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan universiti (baik IPTA mahupun IPTS).
Dari sudut kefahamana Islam sendiri, sistem persekolahan dan pendidikan dalam negara sudahpun terbeban dengan bermacam-macam karenah dan permasalahan di kalangan para pelajar, penuntut dan mahasiswa. Fahaman sesat Syi’ah umpamanya sudah bertapak di kebanyakan IPT tanpa ada kawalan mahupun pemantauan yang berkesan.
Sekiranya gagasan songsang seperti yang dicadangkan di atas, bayangkan kesulitan dan “pening kepala”nya pihak sekolah, para pendidik, guru-guru kaunselor, Ustaz dan Ustazah dan juga para ibubapa sendiri yang terpaksa berhadapan dengan kemungkinan yang sangat besar para pelajar dan anak-anak mereka mula terpengaruh dengan idea-idea Pluralisma sejak awal zaman persekolahan mereka lagi.
Pada peringkat ini, minda para pelajar (khususnya sekolah rendah) mula dan senang dipengaruhi dan dibentuk oleh sistem nilai yang diterapkan melalui sabjek wajib “ugama-ugama lain” selain Islam.
Naiflah sekiranya kita menerima alasan sebahagian orang bahawa akidah kanak-kanak yang berusia antara 7 hingga 14 tahun “tidak akan terjejas, terpengaruh atau terancam” sekiranya saban minggu mereka didedahkan (malah diwajibkan) mengambil sabjek kefahaman ugama-ugama lain, atau tanggungjawab menjaga, memantau dan memelihara akidah mereka semata-mata terletak atas bahu para ibubapa.
Dan kita belum lagi berbicara tentang masalah disiplin, keruntuhan akhlak, krisis sosial dan penyimpangan-penyimpangan moral di kalangan para remaja.
Percubaan untuk mengarus-perdanakan pembelajaran tentang ugama-ugama lain secara perbandingan dari sekolah rendah adalah satu percubaan yang jahat.
Apa yang umat Islam takuti akan menjadi kenyataan secara “paksaan halus” dan juga “indoktrinasi terancang” yang bakal menghilangkan jatidiri ummat Islam yang berpegang kepada keyakinan bahawa Islam adalah satu-satunya ugama, ideologi dan sistem nilai yang diiktiraf oleh Allah Pencipta manusia, yang mengatasi, berdaulat dan dominan ke atas ugama-ugama lain.
Bolehkah dan sanggupkah para pencadang gagasan di atas memberi jaminan bertulis dan akujanji (undertaking) bahawa senario di atas tidak akan berlaku kepada umat Islam dan ke atas anak-anak kaum Muslimin di Malaysia?
Gagasan songsang ini bukan kali pertama cuba diperkenalkan di kalangan ummat Islam. Maharaja Mughal (Mogul) di India bernama Akbar adalah pemerintah pertama (yang saya labelkan sebagai Perintis pluralisma ugama dalam dunia Islam) telah cuba melakukannya pada tahun 1582 Masihi di India.
“Ajaran” yang beliau gelar sebagai “Din Ilahi” tidak jauh berbeza daripada gagasan songsang yang cuba dipaksakan ke atas ummat Islam hari ini.
Din Ilahi merupakan satu sistem kepercayaan yang menggabungkan ajaran-ajaran ugama Islam dan Hindu supaya menjadi satu entiti, yang turut dicampurkan dengan beberapa aspek dari ugama Kristian, Majusi dan Jainisma.
Tujuan besarnya adalah untuk “mencipta” satu “ugama” yang disedut dari semua ugama untuk mencapai kesatuan dan keamanan nasional.
Untuk tujuan tersebut, maharaja Akbar membina satu akademi yang dikenali sebagai Ibadat Khanna pada tahun 1575 di mana perwakilan dari semua ugama dapat duduk semeja, bersemuka dan bertukar-tukar pandangan serta berdebat tentang masalah-masalah ugama.
Kesimpulan yang dibuat oleh Maharaja Akbar ialah tidak ada satu ugamapun yang membawa kebenaran mutlak dan justeru itu perlu di”gabung”kan.
Din Ilahi mendapat tentangan sengit dari umat Islam dan para ulamak di zaman itu. Ada sumber yang mengatakan bahawa para pengikut “ugama” ini tidak sampai 20 orang dan “ugama” ini berkubur dengan kematian Maharaja Akbar.
Pluralisma, Liberalisma, Sekularisma dan seumpamanya adalah nama lain kepada penolakan terhadap Hidayah dan sistem nilai dari Allah untuk mentadbir dan menguruskan kehidupan manusia, secara persendirian mahupun kolektif, dari urusan-urusan bilik air hinggalah ke perbahasan dalam bangunan Parlimen.
Para pencadang gagasan ini boleh mengeluarkan pelbagai alasan dan pembelaan untuk mempertahankan gagasan ini, tapi hakikatnya tetap sama – ia adalah saluran pantas untuk mengimpot masuk ideologi asing ke dalam jantung ummat Islam.
Sebelum kita terlupa, 11 tuntutan IFC di atas merupakan satu juzuk dari agenda COMANGO yang sampai hari ini masih digerakkan oleh para tokoh-tokohnya dengan menggunakan pelbagai nama, platform dan saluran.
Sekiranya mereka gagal mencapai kejayaan melalui usaha-usaha melobi di Geneva, mereka akan menggunakan platform-platform politik (khususnya dari parti-parti pembangkang), atau mendapatkan sokongan dari badan perundangan atau persatuan-persatuan peguam kebangsaan atau bergerak melalui persatuan-persatuan sivil yang sehaluan dengan agenda mereka.
Mereka akan mengeksploit sebarang hubungan baik dengan mana-mana pihak (termasuk NGO-NGO Islam dan pergerakan Islam tempatan) yang bersimpati dengan agenda liberal mereka.
Mereka tidak pernah duduk diam.
Saya merasa sedikit hairan kenapa gagasan songsang ini tidak begitu menarik minat masyarakat untuk dibincangkan sebagaimana mereka berbincang riuh rendah kulu kilir (ke hulu ke hilir) tentang amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan, tatakelola pengurusan negara dan pergaduhan sesama parti-parti politik.
Di mana persatuan-persatuan dan kesatuan-kesatuan guru Islam/Melayu, para ulamak, cendekiawan, tokoh pendidik, ahli-ahli akademik, para kaunselor, AJK masjid dan surau, gerakan-gerakan mahasiswa, persatuan pelajar dan belia dan seumpamanya?
Masih berdengkur lagikah?
Kepada para pencadang gagasan songsang ini begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya ke dalam sistem pendidikan negara, saya ingin cadangkan beberapa gagasan tambahan untuk dimasukkan bersama ke dalam agenda mesyuarat kementerian atau Kabinet:
Masukkan sabjek-sabjek pengajian ugama Islam (termasuk lawatan-lawatan ke institusi-institusi Islam – masjid, mahkamah Syariah, pejabat Mufti, Muzium Islam), sejarah dan tokoh-tokoh Islam dan para ulamak di Nusantara dan Tanah Melayu, Kontrak Sosial, Kedudukan Islam dalam Perlembagaan, sejarah Komunis di Tanah Melayu dan Perbandingan Ugama sebagai sabjek-sabjek Teras dan wajib lulus bagi semua sekolah vernakular (aliran Tamil atau Cina) dan di kolej-kolej swasta.
Di samping itu, mewajibkan juga pimpinan-pimpinan utama setiap parti politik supaya mengikuti kursus berkala mengenai semua sabjek di atas serta wajib lulus peperiksaan bertulisnya.
Saya percaya ini adalah antara langkah terbaik dan berkesan untuk melahirkan rakyat, warganegara dan bakal kepimpinan negara dengan kefahaman yang jelas tentang Islam, sejarah, patriotisma, semangat muhibbah dan keharmonian antara kaum.
Supaya masadepan negara akan berada di tangan mereka yang tidak akan menghancurkannya.
Sehingga idea-idea di atas menjadi kenyataan, atau terdapat satu kemahuan politik (political will) untuk menjayakannya, gagasan songsang ini perlu dibantah dan dibentangkan kembali kepada pemegang pertaruhan (stakeholder) yang sebenarnya, iaitu ummat Islam di Malaysia.
Nasib dan masadepan ummat tidak boleh ditentukan atau diserahkan kepada beberapa individu semata-mata.
Katakan Tidak kepada Gagasan Songsang Negara (SENGSARA)!
Tuan Muhammad Luttfi Abdul Khalid
Aktivis Isma
The post “Kenali Agama Lain” Dalam Sistem Pendidikan Negara – Gagasan Songsang Yang Cuba Dihidupkan Kembali. appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan