Ketum: Tidak semua perkara boleh ditangani dengan fatwa
CYBERJAYA, Selasa – Tidak semua perkara boleh diselesaikan melalui fatwa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, susulan gesaan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung isu penanaman ketum secara komersial.
Beliau berkata, banyak perkara yang perlu diambil kira terutamanya kemudaratan dan manfaat kepada kesihatan serta struktur sosial masyarakat.
“Isu berkaitan fatwa adalah tanggungjawab pihak negeri, bagaimanapun Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam boleh berbincang mengenai hal ini tetapi bukanlah pandangan bersifat mengikat seperti fatwa.
“Kita harus perhalusi kerana tidak semua perkara harus ditangani dengan fatwa. Kita tidak boleh bercakap soal hukum halal atau haram sahaja dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita pada Jamuan Aidilfitri TV AlHijrah di AlHijrah Big Studio, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan garis panduan berhubung isu penanaman ketum secara komersial.
Isu itu menjadi perdebatan pelbagai pihak selepas Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mencadangkan ketum ditanam secara besar-besaran untuk dieksport susulan permintaan tinggi di luar negara. – Bernama
The post Ketum: Tidak semua perkara boleh ditangani dengan fatwa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan