Kilang dadah diserbu mampu tampung 897,000 penagih
Gambar Google
JOHOR BAHRU, Sabtu – Operasi kilang memproses dadah ketamin yang dibongkar polis Rabu lalu dipercayai boleh menampung permintaan untuk 897,000 penagih.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, berdasarkan jumlah rampasan di enam serbuan berasingan itu, pihaknya telah menjumpai dadah seberat 269.2 kilogram disyaki jenis ketamin.
Katanya, semua rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM16.1 juta, selain sitaan harta sebanyak RM314,000 iaitu dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah Toyota Wish dan Honda Accord serta dua rantai emas berserta tiga loket.
Dalam serbuan berkenaan, polis telah menahan 23 ahli sindiket termasuk seorang ahli kimia warga India dalam serbuan bermula jam 4.10 hingga 9.15 pagi Rabu lalu, membabitkan kawasan sekitar Ulu Tiram, Skudai, Bukit Indah, Setia Tropika dan Kempas Lama.
“Serbuan pertama dilakukan di kilang memproses dadah dipercayai ketamin, yang pertama di negara ini dekat Ulu Tiram dan merampas 264.7 kg cecair dadah disyaki ketamin selain menahan 19 ahli sindiket warga India berusia 23 hingga 53 tahun.
“Susulan itu, lima lagi serbuan dilakukan di sekitar bandar raya ini dan polis merampas 4.5 kg serbuk kristal disyaki ketamin di dalam kereta seorang daripada suspek selain menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 41 tahun,” katanya.
The post Kilang dadah diserbu mampu tampung 897,000 penagih appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan