MB Perlis nafi bersekongkol dengan Tun M jatuhkan Najib, blogger minta maaf silap fakta
KANGAR, Isnin – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menafikan tuduhan dan dakwaan seorang blogger bahawa beliau bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata beliau tidak pernah melakukan perbuatan tersebut atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap ‘menikam belakang’ perdana menteri sehingga hari ini sebagaimana didakwa blogger Yusman Zahari.
“Saya sentiasa menyokong tanpa berbelah-bagi malah ketika perdana menteri diserang berkaitan isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion, saya adalah antara ketua UMNO bahagian yang secara terang, jelas dan tegas mempertahankan kepimpinan beliau.
“Niat buruk Yusman terserlah dengan mengadakan cerita yang tidak pernah berlaku dan menuduh Senator Ramli Sharif yang saya namakan sebagai Ahli Dewan Negara berada di barisan hadapan menyambut Tun Dr Mahathir pada 28 Julai lepas,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya malam tadi.
Beliau mengulas mengulas tulisan blogger tersebut yang bertajuk ‘Pemimpin UMNO Perlis Terlibat Salurkan Dana Gerakan Mahathir Jatuhkan Najib.’
Azlan berkata tulisan blogger itu bersifat pembohongan, fitnah dan berniat jahat selain cuba menimbulkan permusuhan antara beliau dengan perdana menteri dan membentuk persepsi negatif rakyat Perlis terhadapnya.
Katanya tuduhan blogger tersebut bahawa beliau tidak pernah menyokong perdana menteri secara terbuka dan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semasa Mukhriz masih menteri besar Kedah juga adalah tidak benar.
“Saya mencabar Yusman membuktikan segala tuduhannya dan menuntut beliau menarik balik dakwaan, pembohongan dan fitnah serta memohon maaf secara terbuka kepada saya dalam masa terdekat.
“Sekiranya dia gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman beliau untuk membersihkan nama saya,” kata beliau yang juga ketua UMNO bahagian Kangar.
Dalam perkembangan berkaitan, Yusman Zahari menerusi entri di blog Jingga Pawana Perang, memohon maaf kepada Azlan Man dan seluruh rakyat Perlis berhubung kesilapan fakta yang ketara dalam artikel berkenaan.
“Saya YUSMAN ZAHARI BIN ZAKARIA pemilik blog “Jinggapewanaperang.blogspot.com.my” Dengan ini MEMOHON MAAF SECARA TERBUKA Kepada MENTERI BESAR PERLIS, AZLAN MAN, Merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar diatas kecuaian saya dalam menerbitkan artikel yang tekah menjurus kepada kesalahan fakta.
“Saya juga memohon maaf kepada SENATOR yang dikaitkan dalam artikel tersebut setelah mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara yang berkaitan dan beliau bukanlah orang yang dikaitkan dengan program berkenaan.
“Di atas kesilapan yang sama , saya juga memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Negeri Perlis diatas kecuaian saya dalam menerbitkan artikel yang telah menyinggung perasaan sesetengah pihak dan juga rakyat didalam Negeri Perlis,” katanya.
The post MB Perlis nafi bersekongkol dengan Tun M jatuhkan Najib, blogger minta maaf silap fakta appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan