Mustafar Ali mahu semua pegawai memiliki integriti kerana mereka aset jabatan
PUTRAJAYA, Isnin – Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia perlu berintegriti kerana mereka merupakan aset jabatan bagi memastikan kecemerlangan organisasi berterusan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia bertujuan untuk memastikan sistem penyampaian awam lebih cekap, berkesan dan terlaksana selari dengan kehendak masyarakat.
Meskipun mungkin terdapat segelintir yang salah laku, tetapi menurutnya, jabatannya itu akan menanganinya dengan baik dan aspek menambah baik itu menjadi keutamaan.
“Kita tidak mahu nanti ada isu-isu salah tadbir, kita mahu pegawai-pegawai kita berintegriti. Walaupun ada segelintir, tetapi itu yang kita akan tangani sebagai satu elemen yang akan diutamakan.
“Ini kerana mereka merupakan aset dalam jabatan. Sumber manusia ini akan menentukan prosedur dan kelangsungan pelaksanaan kerja.
“Apa juga permasalahan seperti elemen negatif iaitu rasuah dan penyelewengan, kita melihat mereka sebagai aset dan kita hendak mengangkat aset ini ke arah lebih tinggi bagi memastikan kesinambungan kerja itu dapat ditambah baik,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Jabatan Imigresen di ibu pejabat jabatan itu di sini, Isnin.
Mengulas mengenai tugas di Jabatan Imigresen, Mustafar menjelaskan bahawa komitmen dalam persekitaran kerja yang baharu ini akan diberikan dengan begitu tinggi.
“Walaupun saya dipinjamkan tetapi bila saya masuk ke organisasi ini, saya akan memberikan komitmen yang penuh dan berdedikasi dalam tindakan kita bekerja.
“Saya telah berbincang bagi meneliti dan mengkaji apakah tindakan-tindakan kita untuk dilaksanakan,” katanya sambil menambah bahawa pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen dan warga kerjanya akan bekerjasama dalam melaksanakan kerja-kerja dengan lebih cemerlang.
The post Mustafar Ali mahu semua pegawai memiliki integriti kerana mereka aset jabatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan