Polis Terengganu siasat dalang ‘Gelombang Kuning’
KUALA TERENGGANU, Khamis – Polis Terengganu sedang mengesan satu gerakan bernama ‘Gelombang Kuning’ yang dipercayai cuba mengaitkan pihak Istana Terengganu dalam memprotes kepimpinan kerajaan negeri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman berkata, gerakan Gelombang Kuning ini dikesan berikutan penemuan sepanduk kuning di empat daerah di negeri ini.
Gerakan yang dikesan sejak 10 hari lalu itu turut dipercayai didalangi segelintir ahli politik yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan kerajaan negeri.
“Polis percaya gerakan ini cuba mempengaruhi rakyat untuk menyertai mereka kerana warna kuning yang digunakan pada sepanduk yang dipasang kononnya mewakili pihak Istana Terengganu.
“Bagaimanapun, Setiausaha Sultan Terengganu sudah tampil membuat laporan yang menafikan pihak Istana Terengganu terbabit dalam gerakan ini,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, dan Ketua Jabatan Siasatan dan Pencegahan Trafik Terengganu, di sini, hari ini.
Rosli berkata, sehingga hari ini polis sudah menerima sembilan laporan polis berhubung gerakan Gelombang Kuning iaitu enam laporan di Kuala Terengganu, selebihnya di Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Katanya, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya gerakan ini ada kaitan dengan cubaan melakukan provokasi pada persidangan Dun yang dijangka dijalankan pada Isnin depan.
“Setakat ini polis masih lagi menyiasat individu atau kumpulan yang mendalangi gerakan ini dan meminta bantuan ahli politik negeri ini untuk tampil memberi maklumat,” katanya.
Dalam masa yang sama, polis menasihatkan orang ramai agar jangan sesekali terlibat dengan gelombang kuning kerana gerakan berkenaan lebih kepada hasutan yang cuba ingin kaitkan dengan pihak Istana Terengganu.
“Siasatan mendapati terdapat unsur hasutan dalam gerakan kumpulan ini oleh demikian polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
The post Polis Terengganu siasat dalang ‘Gelombang Kuning’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan