Tuduh Najib ‘MO1’, Tony Pua disiasat SKMM
CYBERJAYA, Isnin – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memanggil Pengerusi DAP Selangor Tony Pua untuk disoal siasat susulan tuduhan Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah ‘Malaysia Official One’.
Katanya, SKMM memanggilnya kerana suruhanjaya itu menerima lima aduan daripada orang ramai berhubung dua statusnya yang dimuat naik ke Facebook.
“Yang pertama anda boleh semak di Facebook bertarikh 21 Julai. Saya menyebut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menuduh Datuk Seri Najib Razak mencuri wang berbilion ringgit.
“Pada hari sama, saya juga menyebut ‘Malaysian Official One’ adalah 100% Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya di Ibu Pejabat SKMM selepas disoal siasat selama sejam
Pua juga mengakui bahawa dia sendiri yang memuat naik status Facebook itu.
Pua memberitahu bahawa dia disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 233 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang tidak wajar.
“Dalam keterangan kepada SKMM saya beritahu semua komen saya berdasarkan terutamanya dokumen saman DoJ.
“Saya tidak akan menurunkan status itu. Saya akan meneruskan kerja saya sebagai ahli Parlimen untuk meminta kerajaan bersikap telus dalam isu 1MDB.
“Bahkan, saya akan meneruskan perjuangan agar mereka yang bersalah dalam isu 1MDB dikenakan tindakan,” katanya.
Dalam soal siasat itu, Tony turut ditemani peguamnya Gobind Singh Deo.
“Kita tidak ada maklumat sama ada Tony akan dipanggil lagi atau tidak. SKMM juga seharusnya fokus kepada isu lain yang sekarang ini makin menekan rakyat kerana ia juga memberikan impak kepada ekonomi negara,” kata Gobind.
The post Tuduh Najib ‘MO1’, Tony Pua disiasat SKMM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan