Artikel Kepahlawanan Husain tulisan Syed Farid Alatas tak tepati sejarah

ya-husein

Syed Farid Alatas dalam sebuah artikel yang bertajuk “Kepahlawanan Husain pada Hari Asyura” bertarikh 1 Oktober 2016 menceritakan peristiwa pembunuhan Sayyidina Hussein.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam penulisan ini kerana ia tidak menepati sejarah.

Umat Islam, terutamanya yang bermazhab Ahlu Sunnah Wal Jamaah sangat bersedih dengan kematian cucu kesayangan RasulUllah SAW. Apatah lagi, kematian Sayyidina Hussein yang jatuh pada hari yang mulia, iaitu 10 Muharram. Membunuh seorang Muslim adalah perkara yang sangat terkeji, apatah lagi kalau Muslim itu adalah dari kalangan Ahlul Bait dan merupakan kesayangan RasulUllah.

Kesedihan ini tidak boleh menutup atau mengatasi kemuliaan Hari Asyura. Kita memuliakan Asyura dan berpuasa pada hari tersebut bukan kerana mengingati kematian Sayyidina Husseian akan tetapi berdasarkan hadith berikut:

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam tiba di Madinah, kemudian beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Beliau bertanya:”Apa ini?” Mereka menjawab: ”Suatu hari yang baik, ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu sebagai wujud syukur. Maka baginda Rasulullah menjawab: ”Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kalian (Yahudi), maka kami akan berpuasa pada hari itu sebagai bentuk pengagungan kami terhadap hari itu.

Riwayat Bukhari

Terdapat pelbagai kelebihan lain yang menggalakkan kita untuk berpuasa pada hari Asyura tetapi tidak akan dibincangkan di sini. Terdapat perkara yang lain yang ingin saya sentuh. Peristiwa pembunuhan Sayyidina Hussein merupakan satu titik hitam di dalam sejarah Islam. Namun demikian ia sering diceritakan oleh penganut mazhab Syiah.

Keadaan ini menyukarkan penyampaian kisah sebenar. Seperti juga Syed Farid, ramai Syiah memilih untuk mencaci, mencela dan memaki Yazid Ibn Mua’wiyah. Kami tidak mengetahui pegangan mazhab Syed Farid, pendapat kami adalah berdasarkan penulisan beliau. Mari kita lihat beberapa perkara penting yang dikisahkan di dalam rencana tulisan Syed Farid.

Beliau berpendapat bahawa peristiwa ini adalah satu pertembungan antara kebenaran dan kebatilan. Dan pihak yang benar itu adalah pada pihak Sayyidina Hussein. Apa yang ingin ditegaskan adalah, seolah-olah bahawa satu pihak itu batil dan lagi satu itu benar dan yang benar itu adalah Sayyidina Hussein yang dianggap memihak pada Syiah.

Syed Farid tidak menyatakan sebab kenapa Sayyidina Hussein sanggup mengembara jauh sehingga ke Kufah. Harus dirujuk semula tujuan pemergian Sayyidina Hussein ke Kufah. Pada waktu itu terdapat perpecahan politik di kalangan umat Islam. Pihak yang menyokong Sayyidina Ali pada waktu peperangan Siffin dan Jamal telah menggelarkan diri mereka sebagai Syiah. Syiah bermaksud pengikut sesuatu ajaran atau aliran.

Mengenai perjalanan Sayyidina Hussien ke Kufah, beliau pergi ke Kufah di atas jemputan warga Kufah sendiri. Dari Mekah ke Kufah, kerana terdapat ribuan surat-surat yang dihantar oleh warga Kufah untuk menjemput Sayyidina Hussein ke sana. Penulis surat-surat ini telah menjemput Sayyidina Hussein untuk berbaiah kepada beliau.

Maka setelah mendapat sokongan luar biasa dari warga Kufah, Sayyidina Hussein bertolak untuk memenuhi permintaan warga Kufah. Warga Kufah menginginkan Sayyidina Hussein menjadi Khalifah mereka di sana. Pemergian ini telah ditentang oleh Abdullah Ibn Umar, namun Sayyidina Hussein percaya bahawa warga Kufah akan memenuhi janji mereka untuk bersama beliau di sana.

Dengan itu Sayyidina Hussein telah mempercayai bulat-bulat semua warga Kufah yang berjanji akan bersama beliau dengan berbaiah. Kembali kepada Yazid Ibn Mua’wiyah, beliau mengutuskan Ibn Ziyad untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul. Pada waktu itu, Yazid Ibn Mua’wiyah adalah Khalifah kepada Empayar Bani Umayyah.

Yazid merasakan dirinya tercabar, apabila Sayyidina Hussein dijemput ke Kufah untuk menjadi Khalifah. Maka Yazid Ibn Mua’wiyah mengarahkan Ibn Ziyad untuk menyelesaikan persengketaan ini. Tidak ada arahan untuk membunuh Sayyidina Hussain daripada Yazid Ibn Mua’wiyah.

Namun demikian Ibn Ziyad telah memilih untuk membunuh Sayyidian Hussein, walaupun Sayyidina Hussein pada waktu itu telah bersedia untuk pulang ke Mekah tanpa berbaiah dengan penduduk Kufah. Cadangan Sayyidina Hussein ini tidak diterima oleh Ibn Ziyad, dan seterusnya semua lelaki di dalam rombongan tersebut telah dibunuh, kecuali Ali Zainal Abidin Ibn Hussein yang pada waktu itu sedang sakit.

Kekesalan umat adalah pada tindakan Yazid Ibn Mua’wiyah yang gagal menghukum Ibn Ziyad sungguhpun Yazid Ibn Mua’wiyah tidak mengarahkan pembunuhan Sayyidina Hussein. Kegagalan Yazid Ibn Mua’wiyah untuk bertindak membela kematian cucu kesayangan Rasulullah amat dikesali.

Harus diingati bahawa pihak yang telah memungkiri janji mereka untuk berbaiah dengan Sayyidina Hussein tidak turun langsung membantu beliau. Walau satu orang dari warga Kufah tidak membantu rombongan Sayyidina Hussein pada waktu itu. Pengkhianatan ini adalah antara punca pembunuhan besar-besaran ini.

Andaikata ribuan yang mengutus surat itu turun mempertahankan cucu Baginda S.A.W sudah tentu Ibn Ziyad tidak akan berani bertindak sedemikian. Ini adalah pengkhianatan daripada mereka yang menggelarkan diri mereka Syiah ke atas Sayyidina Hussein. Kembali kepada kenyataan Syed Farid bahawa ini perjuangan antara kebenaran dan kebatilan, maka ianya tidak tepat.

Isu ini adalah isu politik dan bukan isu aqidah, maka harus dinilai dari perpektif sejarah politik. Jika kita bersetuju ia adalah peperangan antara kebatilan dan kebenaran, maka yang mengkhianati cucu Rasulullah sudah tentu batil dan begitu juga dengan yang membunuh rombongan Sayyidina Hussein.

Namun demikian kita tidak menghukum Yazid Ibn Mua’wiyah seperti Syiah, ini berdasarkan hadith berikut:

“…Tentera pertama yang menyerang Kota Kaisar akan dimaafkan dosa-dosa mereka…”

Riwayat Bukhari

Yazid Ibn Mua’wiyah telah mengetuai serangan yang pertama ini. Kita tidak mampu untuk menghukum Yazid, namun begitu tetap menyesal dan sedih dengan kegagalan beliau untuk menghukum pembunuh Sayyidina Hussein. Selain daripada kelemahan-kelemahan lain yang wujud pada beliau, penglibatan beliau dalam serangan ke atas Konstantinopel harus diiktiraf.

Untuk menggelarkan para Tabi’n, Sahabat, Tabi’ Tabi’n, yang mana telah dimaafkan atau diraikan sebagai jahat, bodoh dan sombong tidak sesuai dengan akhlak umat Islam. Tidak dinafikan terdapat kejahatan pada zaman Tabi’n dan Tabi’ Tabi’n dari kalangan pemerintah dan umat pada waktu itu, namun kita tidak boleh menyamakan semua yang benar dengan mereka yang batil.

Terdapat orang yang pernah melakukan kesalahan-kesalahan yang sangat besar tetapi Allah serta Rasul-Nya telah memaafkan mereka. Membenarkan kebatilan tidak menjadikan yang batil itu benar, dan membatilkan yang benar tidak membatilkan yang benar. Yang benar itu tetap benar dan yang batil itu tetap batil.

Harus berhati-hati dalam memberi pendapat mengenai sejarah yang diceritakan oleh sebelah pihak sahaja. Pendapat harus datang setelah mengkaji semua aspek dan sudut sesuatu sejarah dan bukan sekadar memetik apa yang sesuai dengan jiwa.

Kita berharap agar kebatilan itu dinilai bukan sahaja dari aspek sejarah tetapi juga dari aspek teologi sesuatu pegangan itu. Semoga kita semua dapat berjuang demi kebenaran dan bukan hawa nafsu.

Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad
Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan Ismaweb.net

The post Artikel Kepahlawanan Husain tulisan Syed Farid Alatas tak tepati sejarah appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian