Felda dapat pembiayaan kerajaan beli saham Eagle High Plantations Indonesia

Sumber gambar: MyNewsHub

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 3 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memaklumkan mendapat pembiayaan kerajaan bagi membeli 37 peratus ekuiti dalam syarikat ladang Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP).

Ketua Unit Komunikasi Koporatnya, Khadijah Mohamad Radzi dalam satu kenyataan berkata, Felda telah mendapat pembiayaan kerajaan bagi perjanjian ini.

“Kerajaan menyokong inisiatif untuk mengembangkan operasi kami kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Felda, bahkan kepada semua pihak berkepentingan lain dalam industri ini.

“Felda semestinya telah mempertimbangkan sumber-sumber pembiayaan alternatif yang lain, namun begitu, keutamaan Felda adalah untuk menyediakan struktur kukuh melalui kos dan risiko yang minimum,” katanya.

FELDA menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd sebelum ini memaklumkan akan membeli 37 peratus kepentingan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) pada harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion).

Pembelian EHP yang juga antara syarikat perladangan terbesar Indonesia dan disenaraikan di bursa saham Jakarta didakwa akan membolehkan Felda memperoleh akses kepada tanah perladangan berkeluasan lebih 320,000 hektar atau kira-kira 4.4 kali saiz Singapura, termasuk lebih 125,000 hektar yang sudah ditanam dengan pokok sawit.

Bagaimanapun tindakan Felda ini mendapat kritikan ramai pihak termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyifatkan pembelian saham itu akan menjejaskan peneroka dan langsung tidak memberi manfaat kepada peneroka Felda kerana ia mengurangkan lagi dana Felda yang kering.

Menafikan semua dakwaan itu Khadijah berkata, Felda sentiasa berusaha mencari wadah terbaik untuk meningkatkan pendapatan Felda di samping memberi manfaat kepada mereka, khususnya para peneroka.

“Jadi, pengambilalihan EHP adalah salah satu usaha untuk mencapai matlamat berkenaan. Selain itu, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk memacu agenda Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk menstabilkan harga urus niaga minyak sawit mentah (MSM).

“Keputusan ini, akan memberi manfaat bukan sahaja peneroka tetapi juga industri secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas beliau, maklumat lanjut mengenai pembelian itu tidak dapat diumumkan sekarang kerana ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Indonesia.

“Pun begitu, apa yang boleh dikatakan sekarang, kita memerlukan rakan kongsi yang berkembang pesat perniagaannya di Indonesia. Seperti Rajawali Group, ia merupakan antara konglomerat terbesar di Indonesia, ia sangat digemari rakan kongsi lain, bukan sahaja dalam sektor perladangan tetapi juga perkhidmatan lain.

“Tambahan pula, Indonesia boleh menjadi pasaran yang mencabar untuk kita meluaskan perniagaan, kerana beberapa syarikat Malaysia telah melaluinya. Dalam masa sama, kita melihat keperluan untuk mempunyai rakan kongsi tempatan yang kukuh.

“Cuma kita tidak boleh nyatakan secara terperinci kerana perlu menunggu kelulusan, bagaimanapun perjanjian ini telah dirunding dengan teliti. Yang penting, kita berjaya mengurang dan menurunkan kepada 30 peratus dengan harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion dan risiko Felda dilindungi,” katanya.

The post Felda dapat pembiayaan kerajaan beli saham Eagle High Plantations Indonesia appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?