1MDB setuju bayar IPIC RM5.28 bilion sebelum Disember berakhir
RM15.28 bilion lagi masih dibincang
BANGI, 27 Rejab 1438H, Isnin – Dana Pelaburan Malaysia bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diletakkan dibawah Kementerian Kewangan, bersetuju membayar AS$1.2 bilion (RM5.28 bilion) kepada firma pelaburan Abu Dhabi – International Petroleum Investment Co (IPIC).
Bayaran itu adalah pinjaman kecemasan dibuat oleh 1MDB, termasuk faedah yang dibayar oleh Abu Dhabi apabila 1MDB gagal menawarkan perkhidmatan kepada bonnya, selain selepas konsortium bank antarabangsa membatalkan pinjaman kepada 1MDB. Malaysia akan membayar IPIC kira-kira AS$500 juta sebelum Julai ini dan AS$600 juta lagi sebelum akhir Disember.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan berkaitan sejumlah AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) bayaran yang dipertikaikan, lapor Wall Street Journal.
Menurut laporan itu yang memetik sumber, pengumuman rasmi Bursa Saham London, di mana bon IPIC disenaraikan akan dibuat selewat-lewatnya hari ini.
Kedua-dua pihak juga dilaporkan membatalkan perjanjian untuk mengelakkan prosiding timbang tara yang memalukan berkaitan berbilion-bilion dolar yang didakwa disalahgunakan menerusi konspirasi bekas eksekutif dan penasihat kepada IPIC dan 1MDB. Perjanjian baharu itu meredakan ketegangan antara 1MDB dan IPIC.
Sebelum ini, IPIC dan Aabar Investments PJS mengemukakan Permintaan Timbang Tara (RFA) kepada Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan Kementerian Kewangan.
Menurut kenyataan IPIC GMTN Limited kepada Bursa Saham London, RFA membabitkan kegagalan 1MDB dan Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) untuk melaksanakan obligasi kontrak mereka di bawah Lembaran Terma Terikat (BTS).
Kegagalan 1MDB dan MOF Inc untuk melaksanakan kewajipan mereka, menyelesaikan keingkaran mereka atau mengemukakan cadangan yang boleh diterima menyebabkan IPIC berada pada kedudukan yang ia perlu meneruskan tuntutannya melalui timbang tara. Jumlah yang dituntut oleh IPIC dan Aabar adalah kira-kira RM26.5 bilion.
Malaysia dan Abu Dhabi berada dalam pertikaian sejak tahun lalu berhubung siapa yang perlu membayar bil berbilion-bilion dolar, yang mana penyiasat Amerika Syarikat (AS) mendakwa ia dicuri daripada 1MDB. Wang itu didakwa disalur keluar dengan bantuan bekas eksekutif 1MDB dan individu yang rapat dengannya, serta bantuan daripada bekas eksekutif kanan IPIC.
Bekas pengerusi IPIC, Khadem Al Qubaisi, kini dilaporkan dipenjara di Abu Dhabi, walaupun tiada pertuduhan rasmi terhadapnya, sementara ramai konspirator dari Malaysia dikatakan hidup di luar negara. Ia termasuk Jho Low, seorang warganegara Malaysia berusia 35 tahun yang menurut Jabatan Kehakiman AS (DoJ) melakukan penipuan itu.
Tahun lalu, DoJ memfailkan saman memohon untuk merampas pelbagai aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.4 bilion), termansuk rumah mewah di Los Angeles dan New York, selain keuntungan daripada filem The Wolf of Wall Street, yang didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB. Jabatan itu juga berusaha mengenakan pertuduhan jenayah pengubahan wang haram terhadap Jho Low.
Sebelum skandal tu terbongkar pada 2015, IPIC adalah rakan rapat perniagaan 1MDB, yang membantu menjamin AS$3.5 bilion (RM15.4 bilion) bon yang dijual oleh Goldman Sachs Group Inc kepada 1MDB. DoJ mendakwa dalam satu perjanjian rahsia, Al Qubaisi membantu Jho Low dan pegawai 1MDB, menyeleweng berbilion dolar wang 1MDB.
Apabila konsortium bank diketuai Deutsche Bank AG menarik balik pinjaman kepada 1MDB kerana bimbang cagarannya, IPIC tampil membantu dengan pinjaman kecemasan AS$1 bilion (RM4.4 bilion).
Selepas skandal itu meletus, hubungan antara Malaysia dan Abu Dhabi merosot, dan kedua-dua pihak mula mengeluarkan tuduhan mengenai siapa yang harus dipersalahkan.
Perjanjian itu bagaimanapun, tidak menyelesaikan AS$3.5 bilion dana 1MDB yang dipindahkan ke syarikat ‘boneka’ di British Virgin Islands yang diwujudkan oleh Al Qubaisi dan sekutunya. Syarikat itu mempunyai nama yang hampir sama dengan anak syarikat IPIC. Abu Dhabi berkata, IPIC atau anak syarikatnya tidak pernah menerima wang berkenaan, manakala Malaysia mendakwa syarikat itu adalah ‘de facto’ IPIC.
Ratusan juta dolar wang 1MDB juga didakwa ditemui dalam akaun Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, melalui satu rangkaian perantara, termasuk syarikat yang dipertikaikan, lapor akhbar berkenaan yang memetik dokumen mahkamah.
Rekod juga menunjukkan kebanyakan wang itu sudah dikembalikan kepada syarikat luar pesisir. Tetapi, Najib mendakwa wang itu adalah derma daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Syarikat yang dikawal anak tiri Najib, Riza Aziz, juga dilaporkan menerima jutaan dolar wang berasal dari 1MDB dan dipindahkan kepadanya menerusi perantara.
Mac lalu, sidang Dewan Rakyat diberitahu bahawa 1MDB tidak mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek pada masa ini.
Kementerian Kewangan berkata, 1MDB telah menyelesaikan sepenuhnya kesemua hutang pada 2015 dan 2016.
“1MDB telah memperoleh tunai sebanyak RM10.97 billion pada tahun 2015 dan 2016 melalui penjualan aset syarikat Edra Global Energy Sdn Bhd, penjualan sebahagian ekuiti syarikat Bandar Malaysia Sdn Bhd dan penjualan lot tanah di projek Tun Razak Exchange,” kata kementerian itu.
Kementerian Kewangan turut memberi pecahan pembayaran kesemua hutang 1MDB iaitu sebanyak RM229.5 juta Kemudahan Kredit Berputar daripada Affin Bank pada 23 November 2016; RM950 juta bagi Kemudahan Kredit Tersedia daripada kerajaan pada 31 Mac 2016; RM2 bilion bagi Kemudahan Pinjaman Berjangka daripada Marstan Investments N.V yang dijelaskan sepenuhnya pada 8 April 2016 serta AS$150 juta Kemudahan Pembiayaan Berjangka daripada EXIM Bank yang dijelaskan sepenuhnya pada 15 April 2016.
Rundingan 1MDB, Ipic isu kehilangan berbilion ringgit temui jalan buntu
The post 1MDB setuju bayar IPIC RM5.28 bilion sebelum Disember berakhir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan