Geng kongsi gelap rekrut budak sekolah jadi ahli guna WhatsApp
KUALA LUMPUR, 30 Rejab 1438H, Khamis – Polis berkata, kumpulan kongsi gelap yang menggelarkan diri mereka sebagai Geng 24 dikesan menggunakan aplikasi WhatsApp untuk merekrut ahli baharu terutama pelajar sekolah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mendedahkan, aplikasi itu digunakan bagi mengembangkan ‘pengaruh’ dan kekuatan mereka.
“Ini susulan hasil siasatan polis selepas menemui satu akaun kumpulan WhatsApp yang dinamakan Geng 24 dan Apache.
“Siasatan mendapati kewujudan akaun WhatsApp itu untuk berkomunikasi sesama anggota kumpulan,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi rahsia tersebut dikhuatiri turut digunakan untuk merekrut ahli dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Khamis lalu, kecoh di media sosial apabila video sekumpulan lelaki yang membuat kekecohan di hadapan sebuah sekolah di Klang, Selangor.
Susulan kejadian itu, polis menahan 38 orang yang dipercayai anggota Geng 24 dan membebaskan 33 orang daripadanya yang merupakan pelajar berusia antara 16 hingga 18 tahun pada Isnin lalu dengan jaminan polis.
Seramai lima individu berusia antara 20 hingga 25 tahun yang msing-masing bekerja sebagai mekanik, pengawal keselamatan, tukang paip dan buruh masih ditahan untuk membantu siasatan.
Polis percaya motif kekecohan di hadapan sekolah itu adalah bertujuan untuk menarik pelajar menganggotai kumpulan berkenaan selain menimbulkan keadaan huru-hara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda atau kedua-dua sekali.
The post Geng kongsi gelap rekrut budak sekolah jadi ahli guna WhatsApp appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan