Hina mangsa tsunami, menteri Jepun letak jawatan
TOKYO, 29 Rejab 1438H, Rabu – Menteri Kabinet Jepun, Masahiro Imamura meletak jawatan hari ini gara-gara menghina bencana tsunami dan loji nuklear di Fukushima yang berlaku pada tahun 2011.
Imamura yang bertanggungjawab memantau proses pembinaan semula kawasan yang musnah akibat tsunami itu dilapor mengeluarkan kenyataan semalam bahawa lebih baik bencana itu berlaku di wilayah timur laut berbanding di Tokyo.
Beliau berkata demikian ketika berucap mengenai kos yang terpaksa ditanggung akibat gempa bumi berukuran 9.0 magnitud yang mencetuskan tsunami besar dan meragut hampir 20,000 nyawa itu.
Susulan itu, Imamura terpaksa mengumumkan peletakan jawatan di sebuah majlis untuk pembuat undang-undang anjuran parti pemerintah Parti Demokratik (LDP), hari ini.
Kenyataan Imamura itu turut mendorong kenyataan maaf serta merta oleh Perdana Menteri Shinzo Abe.
Peletakan jawatan itu juga dilihat sebagai usaha untuk meminimumkan impak terhadap pentadbiran kerajaan Abe, yang didakwa bersikap sambil lewa. – Agensi
The post Hina mangsa tsunami, menteri Jepun letak jawatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan