Johor cari solusi remaja terbabit aktiviti basikal lajak
PONTIAN, 13 Rejab 1438H, Isnin – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pihaknya akan menjalankan kajian dan mencari penyelesaian terbaik berkaitan isu remaja yang terbabit kegiatan menggunakan basikal diubah suai.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang menubuhkan jawatankuasa khas berhubung isu itu, sebaliknya EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri serta EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah diminta menjalankan kajian dan mencari penyelesaian terbaik berhubung permasalahan basikal lajak.
“Perkara ini sudah dibincang di peringkat kerajaan negeri dan akan dibuat kajian cara paling berkesan untuk menangani masalah itu. Saya akui bukan mudah untuk mencapai keputusan paling baik, lebih-lebih lagi remaja kita kini suka kepada tindakan bersifat yang memberi cabaran.
“Bagaimana kita mahu tangani perkara ini kerana lagi kita tunjukkan kuasa, lagi mereka melawan, yang ini mungkin dipengaruhi daripada aspek pengaulan dan pendedahan.
“Kita tidak tubuh begitu (jawatankuasa khas) tetapi minta ECO Perumahan dan Wanita untuk lihat dan kaji perkara ini dan diberi fokus,” katanya kepada sidang media selepas melancarkan projek Johor WiFi di Kampung Parit Puteri Menangis di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, laporan berhubung penahanan 22 remaja termasuk dua perempuan berusia 14 hingga 17 kerana terbabit kegiatan basikal ubah suai di Jalan Lingkaran Dalam di sini, 2 April lalu sudah disiapkan.
Beliau berkata, pihaknya sudah menyerahkan laporan itu kepada Menteri Besar Selasa lalu sebelum ia dibawa ke Mesyuarat EXCO pada keesokan harinya.
Katanya, polis sudah selesai melakukan tanggungjawab (menyiasat dan menyiapkan laporan) dan pihaknya mengharapkan tindakan proaktif dapat diambil bagi menangani permasalahan itu.
Terdahulu, pada 18 Februari lalu, lapan remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun maut, manakala lapan lagi cedera termasuk dua kritikal selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal secara berkumpulan di Jalan Lingkaran Dalam di sini.
Manakala, pada 1 April lalu, seramai 22 remaja berusia 14 hingga 17 tahun termasuk dua perempuan, ditahan ketika berkumpul di lokasi kejadian yang mengorbankan lapan remaja berbasikal itu pada 18 Februari lalu, dengan basikal yang diubah suai, dipercayai untuk berlumba.
The post Johor cari solusi remaja terbabit aktiviti basikal lajak appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan