Kalau Kit Siang nak bentang RUU 355 pun boleh, kata Mursyidul Am PAS
ALOR SETAR, 4 Rejab 1438H, Sabtu – Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, parti itu tidak tidak kisah siapa yang akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.
Malah, PAS akan menerima jika penasihat DAP, Lim Kit Siang hendak membentang usul itu kerana pertolongan daripada Syaitan pun boleh diterima.
“Kalau Lim Kit Siang mahu bentangkan pun tidak apa kerana Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata PAS menerima sesiapa sahaja yang mahu menolong termasuklah syaitan,” katanya.
Berucap pada perasmian mesyuarat PAS Kawasan Kuala Kedah di sini, semalam, beliau berkata, apa yang lebih penting ialah matlamat untuk memartabatkan Mahkamah Syariah itu tercapai.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak akan membentangkan pindaan RUU itu di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.
Sementara itu, Hashim berkata, hnya Majlis Syura Ulama PAS yang akan membuat keputusan sama ada parti itu perlu memutuskan hubungannya dengan PKR atau sebaliknya.
Katanya, walaupun Muktamar Agung PAS April ini akan memutuskan kata sepakat perwakilan mengenai perkara itu, ia mesti mendapat keputusan Majlis Syura selepas itu.
“PAS ada garis panduannya untuk memutuskan sebarang keputusan untuk berkawan dengan siapa, mahu berlawan dengan siapa ataupun mahu berkecuali untuk berkawan.
“Majlis Syura lah akhirnya akan membuat penilaian dan menilai sama ada menerima atau tidak apa-apa ketetapan daripada muktamar nanti. PAS bukan parti yang bodoh kerana kita boleh menilai sesuatu itu sama ada baik atau tidak,” katanya.
The post Kalau Kit Siang nak bentang RUU 355 pun boleh, kata Mursyidul Am PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan