Kerajaan lemah jika tak bertegas dengan Nanyang: Mapim
BANGI, 16 Rejab 1438H, Khamis – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengingatkan kegagalan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Nanyang Siang Pau mengikut Akta Hasutan dan undang-undang penerbitan lain, menunjukkan pentadbiran yang lemah dan tidak berwibawa.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pendekatan Nanyang mempersenda dan menghina secara sengaja, jelas bertujuan memprovokasi kemarahan dan perselisihan, bukan sahaja antara penganut agama, malah bangsa di negara ini.
Beliau berkata, editor akhbar Nanyang harus ingat, negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama yang sangat beragam ini dapat bertahan sebagai sebuah negara yang berdaulat, apabila semangat menghormati sesama agama dan kaum masih dapat dikekalkan.
Katanya, akbar Nanyang sepatutnya sudah cukup matang mengamalkan kewartawanan yang beradab.
“Nilai dan sikap masyarakat timur yang sepatutnya berteraskan adab dan menjaga maruah pihak lain terutama dalam dunia media semestinya dipelihara dengan baik.
“Kami tidak boleh menerima sama sekali kewartawanan yang biadab dan tidak menghormati perbahasan yang matang dan beradab. Apakah pihak editor Nanyang tidak memahami sensitiviti masyarakat beragama di negara ini?
“Apakah kebebasan mutlak yang menghina individu dan institusi boleh diterima dalam negara yang berbilang agama dan kaum seperti di Malaysia?,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas ilustrasi kartun yang menghina Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang disiarkan akhbar itu baru-baru ini.
Mohd Azmi berkata, dengan etika kewartawanan yang tidak matang dan kebudak-budakkan ini, boleh sahaja merungkaikan benteng keharmonian yang begitu lama dipupuk.
“Apabila hal ini tidak dihargai akhbar Nanyang harus menilai semula sama ada kehadhirannya di negara ini releven atau sebaliknya.
“Perbahasan pindaan RUU 355 telah diangkat pada tahap yang sangat sensitif bukan sahaja antara parti politik malah antara agama dan kaum.
“Dengan sengaja memaparkan ilustrasi kartun yang menghina Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ia tidak membantu sama sekali untuk rakyat memberi fokus kepada hujah yang “factual” dan berdasarkan ketepatan maklumat yang benar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Mapim kesal terhadap editor akhbar Nanyang yang telah menunjukkan sikap sangat tidak beretika dan memprovokasi kemarahan masyarakat Islam terhadap isu sokongan kepada pindaan RUU 355.
The post Kerajaan lemah jika tak bertegas dengan Nanyang: Mapim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan