MAIPs harus malu jika belum mampu bantu asnaf: Raja Muda Perlis
KANGAR, 2 Syaaban 1438H, Sabtu – Warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) harus berasa malu jika masih belum mampu membantu golongan asnaf di negeri ini keluar dari kepompong hidup mereka.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, walaupun MAIPs dilihat sebagai sebuah agensi yang semakin mantap dalam melaksanakan amanahnya namun tidak harus ada istilah berpuas hati dengan khidmat bantuan yang telah dilaksanakan.
“Sekiranya terdapat segelintir asnaf yang ditemui dan santuni masih berada di takuk lama setelah sesuatu tempoh yang wajar maka MAIPs harus melipatgandakan usaha memperbaiki keadaan itu.
“Jika ada yang tersisih dan terbiar masih kelihatan lesu, seolah-olah tidak pernah dibantu, ini satu situasi yang harus dielak dan perlu untuk sama-sama kita lakukan luar daripada kebiasaan, fikir dan renungkan,” titah baginda menurut siaran media yang dikeluarkan oleh MAIPs, hari ini.
Baginda bertitah demikian ketika menutup Mesyuarat MAIPs kali ketiga bagi tahun 2017 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Dewan Kulliyah MAIPs di Behor Temak, semalam.
Raja Muda menyeru seluruh warga MAIPs untuk mengatasi cabaran berkenaan dengan penuh komited, profesional dan bukan emosional serta secara hikmah dalam membantu memperbaiki taraf kehidupan rakyat.
Pada masa yang sama, asnaf pula hendaklah diterapkan juga rasa malu kerana tidak berjaya berusaha mengubah dan memajukan diri serta keluarga mereka, titah baginda. – Bernama
The post MAIPs harus malu jika belum mampu bantu asnaf: Raja Muda Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan