Najib bukan contoh individu bermoral tinggi, kata Tun Dr Mahathir

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rejab 1438H, Rabu – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berasa lucu apabila mendengar kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengajak rakyat Malaysia supaya mempunyai nilai moral dan budaya yang tinggi.

Ini kerana, kata bekas Perdana Menteri Malaysia 22 tahun itu, Najib bukan contoh terbaik individu yang bermoral tinggi, malah lebih melucukan apabila Perdana Menteri menggesa dunia supaya menghormati Malaysia di bawah pentadbirannya.

Katanya, Najib tidak mempercayai kepimpinan melalui teladan, sebaliknya percaya kepada ‘apa yang saya beritahu anda untuk lakukan, bukan apa yang saya lakukan’.

“Tetapi sama ada ia percaya kepada kepimpinan melalui teladan atau tidak, pengikutnya tidak boleh membantu sebaliknya melihat beliau sebagai model mereka. Oleh itu pengikut UMNO telah menjadi sebagai perasuah dan tidak bermoral sepertinya,” katanya dalam entri terbaru blog beliau, hari ini.

Tun Dr Mahathir mempertikaikan bagaimana Najib menjangkakan bahawa dalam tempoh 33 tahun akan datang menerusi slogan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkannya, negara akan memiliki nilai moral dan budaya yang tinggi.

“Najib bukanlah contoh individu yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Pertama beliau percaya kepada ‘cash is king’. Ini bermakna bahawa orang ramai boleh menjadi korup untuk melakukan apa saja. Contohnya, mengundi BN pada pilihan raya akan datang. Akhirnya, Malaysia diklasifikasikan sebagai antara negara paling korup di dunia. Apakah orang akan menghormati negara yang rasuahya tinggi?

“Dan wang untuk rasuah adalah sebahagian besarnya daripada dana 1MDB yang dicuri. Kebetulan pula, seolah-olah tiada sebarang audit yang dijalankan terhadap dana 1MDB sejak dua tahun lalu. Adakah ini sesuatu yang akan menjadikan dunia menghormati kita?,” katanya.

Bahkan Dr Mahathir berkata, kebelakangan ini rakyat sering mendengar laporan berhubung ketirisan yang berlaku dalam kalangan pegawai kanan kerajaan sehingga mencecah ratusan juta ringgit.

“Ia jauh daripada mencapai nilai-nilai moral yang tinggi, seolah-olah merosot di bawah pemerintahan Najib.

“Moral dan budaya akan bertambah buruk, hanya memperkenalkan slogan baru TN50 dalam tempoh 33 tahun, tidak akan mengubah rakyat Malaysia memiliki nilai budaya dan moral yang tinggi,” katanya.

Malah, beliau menyifatkan gesaan Najib kepada rakyat supaya memiliki nilai moral dan budaya yang tinggi, termasuk dunia menghormati Malaysia adalah sesuatu yang melucukan dan mustahil.

“Ketika ini, nama Malaysia adalah lumpur kepada dunia. Rakyat Malaysia malu untuk mengakui bahawa mereka adalah warganegara apabila berada di luar negara.

“Sepertinya reputasi Malaysia (ketika ini) disebabkan oleh Najib, kerugian berbilion ringgit dana 1MDB, pengubahan wang haram dan berbilion ringgit ditemukan dalam akaun peribadinya,” katanya.

Namun katanya, apa yang lebih memburukkan keadaan lagi apabila Najib masih bergelar Perdana Menteri Malaysia.

“Di Brazil dan Korea Selatan, tuduhan rasuah telah menyebabkan penggantungan dan penangkapan. Tetapi di Malaysia, Najib selamat dan selamba beritahu rakyat untuk menjadi jujur dan menuntut dunia menghormati negara rasuah ini,” katanya.

The post Najib bukan contoh individu bermoral tinggi, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian