Najib perlukan wang, cari alasan untuk meminjam dari China, kata Tun M
BANGI, 5 Rejab 1438H, Ahad – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat usaha Datuk Seri Najib Razak mengukuhkan hubungan dengan China sebagai membimbangkan.
Syarikat berkaitan kerajaan China pada 2015 memainkan peranan sebagai ‘kuda putih’ untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila masalah kewangan yang dihadapinya diketahui umum berikutan beberapa siri pendedahan media.
China General Nuclear Power Corp menyuntik AS$2.3 bilion dalam perjanjian pembelian jana kuasa milik 1MDB, manakala China Railway Engineering Corp membeli kepentingan dalam projek pembangunan Bandar Malaysia di Kuala Lumpur dengan harga RM12.4 bilion. Sebelum tawaran, 1MDB menanggung beban hutang RM42 bilion.
Najib kembali dari lawatan kerja enam hari ke Beijing pada November tahun lalu dengan membawa pulang 14 perjanjian, termasuk rundingan dengan China Communications Construction bagi projek Landasan Keretapi Pantai Timur bernilai RM55 bilion.
PowerChina, pula mengadakan usahasama dengan pemaju tempatan bagi membina pelabuhan baharu laut dalam di Melaka sebagai sebahagian daripada ‘Melaka Gateway’ bernilai RM30 bilion. Melaka adalah titik utama laluan bagi sebahagian besar minyak mentah China.
Sementara, Guangxi Beibu International Port Group pada 2013 menandatangani perjanjian bagi projek memperluas dan mendalamkan Pelabuhan Kuantan bernilai RM3 bilion, yang dilancarkan Najib.
Najib berdepan tekanan dari dalam negara sekembalinya dari Beijing membawa pelaburan dan pinjaman mudah bernilai AS$34 bilion – mendorong Dr Mahathir dan beberapa pihak lain menuduh Perdana Menteri menjual Malaysia kepada China.
Dalam temu bual eksklusif dengan This Week in Asia semalam, Dr Mahathir mempersoalkan sama ada semua projek berkenaan penting untuk Malaysia.
“Kita mempersoalkan sama ada projek-projek itu penting untuk Malaysia atau tidak. Apa yang berlaku ialah Najib mahu meminjam wang, tetapi dia memerlukan alasan untuk meminjam wang,” katanya dalam temu bual lebih sejam.
Mengulangi pendirian bahawa beliau bukan anti-China, beliau berkata, tindakan Najib mengadakan hubungan yang lebih rapat dengan Beijing akan menjejaskan status Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali.
Beliau mengkritik peningkatan kerjasama ketenteraan antara Malaysia dan China, yang diumumkan tatkala Najib melawat Beijing dengan pembelian empat kapal peronda pesisir pantai.
“Jika anda mempunyai satu pakatan dengan ketenteraan China, anda tidak lagi bebas untuk mengkritik atau berkata apa-apa. Anda mesti mengikut dasar luar China. Sekarang kita tidak lagi bebas, kita kini adalah sebahagian daripada blok Cina.
“”Hanya kerana saya mahu memastikan bahawa Malaysia kekal sebagai negara neutral yang dasarnya ditetapkan oleh rakyat Malaysia sendiri, tidak bermakna saya anti-China.
“Saya anti penyertaan dalam mana-mana blok. Kami tidak menyertai blok Barat atau blok Timur, atau Russia atau China atau apa-apa. Itulah dasar yang saya jalankan ketika tempoh saya mentadbir negara. Saya rasa ia adalah polisi yang baik,” katanya.
Mengenai Forest City di Johor, Dr Mahathir berkata:
“Ianya bukan pelaburan China, tetapi sebuah penempatan. Mereka membina bandar, bukannya loji perindustrian.”
Membandingkan projek dilakukan di Florida, Louisiana and Alaska pada 1800, beliau berkata:
“Apabila anda membeli tanah, maka anda akan dapat mengawal tanah itu. Ini berbeza dengan pelaburan asing lansung (FDI). Ia akan menjadi bandar mereka di mana mereka memiliki kedai sendiri, bank dan segala-galanya.”
The post Najib perlukan wang, cari alasan untuk meminjam dari China, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan