PRU14 ibarat Peperangan Ahzab buat PAS, kata MB Kelantan
Pastikan pentadbiran negara tidak beralih daripada sekular kepada sosialis
Oleh Razali bin Zakaria
ALOR SETAR, 30 Rejab 1438H, Khamis – PAS hari ini secara tidak langsung menyifatkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sebagai ‘Peperangan Ahzab’ apabila parti itu perlu berdepan dengan blok pembangkang lain dan Barisan Nasional (BN).
Peperangan Ahzab berlaku pada Syawal tahun 5 Hijrah apabila pihak Musyrikin bersama tentera dari Makkah bergabung untuk menyerang Rasulullah SAW dan umat Islam di Madinah.
Dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Ulama PAS di sini hari ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, dalam perang itu umat Islam beroleh kemenangan hanya menggunakan strategi tertentu, tanpa perlu melalui peperangan.
“Sebagaimana kita lihat strategi Peperangan Ahzab, walaupun peperangan ahzab kalahnya pihak musyrikin, pihak bersekutu, barisan nasional pada waktu itu tanpa peperangan, di sana ada strategi yang perlu kita pelajari, yang perlu kita dalami.. bagaimana dapat mengalahkan tentera bersekutu tanpa peperangan,” katanya.
Oleh itu beliau menggesa ulama PAS mengkaji apakah stategi yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam perang itu sehingga membawa kemenangan.
“Maka hendaklah kita membawa strategi terbaik untuk kita waktu ini yang akan berdepan Ahzab juga,” katanya.
Beliau yang juga Timbakan Mursyidul Am PAS juga berkata, parti itu juga tidak akan membiarkan pemerintahan negara bertukar daripada sekular kepada sekular, sebaliknya ia mestilah berteraskan Islam.
“PAS berusaha menolak parti sekular di Malaysia kerana dasar itulah yang sehingga kini menyebabkan penderitaan dan kezaliman di kalangan rakyat.
“Tiada gunanya usaha kita selama ini jika tumbangnya kerajaan sekularisme, diganti pula kerajaan sosialisme. Takkan kita nak ambil masa 60 tahun lagi untuk mencatur gerakan menumbangkan kerajaan sosialisme?,” katanya.
The post PRU14 ibarat Peperangan Ahzab buat PAS, kata MB Kelantan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan