Ramai orang muda muflis gagal bayar hutang kenderaan

KUALA TERENGGANU, 15 Rejab 1438H, Rabu – Ketua Unit Likuidasi, Jabatan Insolvensi Malaysia Terengganu, Roslan Ngah mendedahkan, sebanyak 2,169 kes muflis direkodkan di negeri ini sepanjang lima tahun lalu dengan peratusan tertinggi membabitkan kegagalan melunaskan hutang sewa beli kenderaan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang berdepan dengan permasalahan itu berusia dalam kelompok usia 25 hingga 44 tahun.

“Sejak 2013 hingga tahun lalu, seramai 599 individu daripada kumpulan umur 35 hingga 44 tahun diisytiharkan bankrap ekoran kegagalan menjelaskan hutang pinjaman sewa beli kenderaan itu.

“Hal itu terjadi disebabkan banyak faktor antaranya mahu bertukar kenderaan yang lebih selesa untuk keluarga di samping krisis kewangan seperti perbelanjaan isi rumah yang makin bertambah atau kehilangan pekerjaan dan pendapatan tidak tetap.

“Di samping itu, mereka dalam kelompok usia 25 hingga 34 tahun yang baharu memulakan kehidupan berkeluarga dan memerlukan kenderaan. Syarat yang agak longgar bagi pinjaman ini memudahkan pemilikan walaupun mungkin di luar kemampuan,” katanya yang dipetik daripada akhbar tempatan.

Roslan menjelaskan secara lanjut, secara keseluruhan sebanyak 2,169 kes muflis direkodkan jabatan itu sepanjang 2012 hingga 2016 dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 535 kes manakala pada 2015 pula sebanyak 386 kes, 407 kes (2014), 451 kes (2013) dan 390 kes (2012).

Katanya, jumlah kes di negeri ini dijangka akan terus meningkat tahun ini susulan kesan kegawatan ekonomi negara yang menyebabkan ketidakmampuan untuk membayar hutang lanjutan daripada penutupan perniagaan dan pemberhentian kerja.

Pada masa sama, beliau memberitahu, jabatan itu sentiasa bersedia untuk membantu mana-mana individu yang ingin keluar daripada belenggu muflis termasuk menghulurkan kerjasama dalam menentukan pembayaran balik kesemua hutang.

“Kebelakangan ini ramai yang telah hadir bagi mendapatkan bantuan untuk keluar daripada belenggu kebankrapan namun, masih terdapat segelintir yang enggan memberi kerjasama.

“Ini menyebabkan pentadbiran kebankrapan tidak dapat diteruskan dan peluang untuk dilepaskan daripada kebankrapan agak sukar untuk dilaksanakan,” katanya.

The post Ramai orang muda muflis gagal bayar hutang kenderaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian