Rasuah bola sepak: Kertas siasatan dijangka siap minggu depan
JOHOR BAHRU, 22 Rejab 1438H, Rabu – Kertas siasatan berhubung isu rasuah bola sepak dijangka siap sepenuhnya minggu depan untuk diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Timbalan Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes itu memandangkan seorang lagi pemain bola sepak disyaki terlibat masih ditahan reman.
“Pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan dengan kadar segera dan masih ada seorang lagi dalam tahanan reman kita, manakala yang lain sudah dibebaskan.
“Saya jangka minggu depan kertas siasatan akan diserahkan kepada DPP untuk pertimbangkan sebarang pertuduhan.
“Jadi saya harap kita dapat menyelesaikan siasatan dengan cepat dan keputusan siasatan saya jangka dalam masa seminggu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang bookie dan tiga pemain ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan rasuah berhubung isu mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana membabitkan kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).
SPRM menahan bookie berusia 49 tahun itu pada 5 April lalu selepas didakwa menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab itu untuk menentukan keputusan perlawanan Liga Perdana musim ini.
Pada 6 April, tiga pemain bola sepak MISC-MIFA; dua pemain tempatan masing-masing berusia 26 dan 27 tahun dan pemain import Argentina berusia 29 tahun ditahan reman kerana dipercayai menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk menentukan perlawanan.
The post Rasuah bola sepak: Kertas siasatan dijangka siap minggu depan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan