Selain PAS, mufti juga kata pelaksanaan GST haram
BANGI, 2 Syaaban 1438H, Sabtu – Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diakui orang awam sebagai membebankan terutama untuk golongan berpendapatan rendah.
Mengulas situasi itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sebarang tindakan dan polisi sekiranya ia membebankan serta menganiayai rakyat, maka ianya adalah adalah haram.
Katanya, ini kerana bercanggah dengan nilai keadilan yang dikehendaki Islam seperti diperintahkan oleh Allah kepada kerajaan untuk menegakkannya.
“Seperti yang semua sedia maklum, memang kita sering mendengar rungutan terhadap sistem percukaian sedemikian (GST) sejak awal ia diperkenalkan lagi.
“Secara umum, saya bersetuju. GST seperti dilaksanakan pihak kerajaan telah menimbulkan masalah dan menyukarkan kehidupan golongan berpendapatan kecil,” katanya dipetik Sinar Harian.
Kelmarin, Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed ketika berucap di Muktamar berkata, GST perlu dihapuskan kerana kaedah pencukaiannya adalah haram dan tidak menepati syariat Islam.
Mengulas lanjut, Ustaz Wan Salim berkata, dari sudut Islam, sepatutnya cukai tidak perlu dikenakan ke atas golongan miskin dan berpendapatan rendah.
“Ini kerana antara tujuan cukai dipungut ialah untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat jelata yang memerlukannya, di samping melaksanakan pembangunan negara dalam pelbagai sektor.
“Justeru, pelaksanaan GST perlu dikaji semula supaya ia lebih adil dan tidak membebankan golongan berpendapatan kecil.
“Pihak kerajaan perlu menentukan had minimum pendapatan individu dan syarikat untuk dikenakan GST,” katanya.
The post Selain PAS, mufti juga kata pelaksanaan GST haram appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan