Siti Noor Aishah dibebas jika tak terbabit keganasan: KDN
JOHOR BAHRU, 4 Rejab 1438H, Sabtu – Kementerian Dalam Negeri hari ini meminta semua pihak tidak memperbesarkan isu penahanan Siti Noor Aishah Atam dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.
Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jika Siti Noor Aishah yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak bersalah, bekas pelajar Universiti Malaya itu akan dibebaskan.
“Polis tidak akan menahan mana-mana orang sekiranya mereka langsung tidak terlibat dengan aktiviti yang didapati cenderung kepada kegiatan keganasan.
“Dalam kes Siti Noor Aishah ini, dia akan dinilai sama ada betul-betul terlibat dengan keganasan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Mini #KitaPulai di Permatang Kempas, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penahanan semula Siti Noor Aishah, 29, mengikut Sosma pada 27 Mac lalu dan kini ditempatkan di Penjara Kajang.
Penahanan yang dilakukan ketika Siti Noor Aishah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan rayuan oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya pada September lalu.
Mac tahun lepas, Siti Noor Aishah ditahan buat pertama kali mengikut Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan kumpulan pengganas. – Bernama
The post Siti Noor Aishah dibebas jika tak terbabit keganasan: KDN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan