China diamkan Asean isu ‘penambakan tanah dan ketenteraan’ di Laut China Selatan
MANILA, 6 Syaaban 1438H, Rabu – Selepas menerima tekanan hebat daripada kerajaan parti komunis China, 10 negara Asean, bersetuju menggugurkan perkataan ‘penambakan tanah dan ketenteraan’ bagi merujuk kepada langkah Beijing mewujudkan beberapa pulau buatan di Laut China Selatan.
Perkataan itu digugurkan pada akhir Sidang Kemuncak Asean Ke-10 di sini yang dipengerusikan Filipina. Sebelum itu, perkataan berkenaan telah dimasukkan dalam kenyataan pengerusi sidang sejak tahun lalu, tetapi tidak diterbitkan.
Dua diplomat Asean mendakwa China memberi tekanan dan ugutan kepada Filipina supaya menjaga isu yang menjadi perbalahan dengan Beijing, khususnya laluan strategik, ketika sidang kemuncak itu.
China tidak terbabit dalam sidang kemuncak itu, tetapi memberi perhatian serius kepada kenyataan yang dibuat.
Beijing kerap dituduh cuba mempengaruhi deraf kenyataan supaya tidak bertentangan atau mencabar tuntutannya terhadap kedaulatan wilayah di Laut China Selatan.
Tindakan Asean itu sekali gus menggembirakan Beijing, tetapi jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang enggan mengulas sama ada China memberi ugutan berkaitan kenyataan itu.
Shuang mendakwa sejak tahun lalu, dengan kerjasama China dan negara-negara Asean, termasuk Filipina, ketegangan di Laut China Selatan turun.
“Saya rasa ia adalah selaras dengan kehendak kepentingan negara di rantau ini. Keadaan sidang kemuncak Asean menunjukkan perubahan positif berhubung Laut China Selatan, dan hasrat semua pihak untuk menjaga kestabilan, menggalakkan kerjasama dan pembangunan harus disokong,” katanya.
China sebelum ini, marah kepada beberapa individu dalam blok Asean yang membangkitkan keprihatinan mereka mengenai penambakan laut di Kepulauan Spratly, serta penempatan sistem peluru berpandu China di situ.
Jurucakap Kementerian Luar Filipina, Zaldy Patron yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Asean berkata, tidak ada negara anggota yang menegaskan dengan serius mengenai isu Laut China Selatan, atau memperkatakan mengenai penambakan tanah serta ketenteraan.
Kenyataan ‘berlembut’ Asean dibuat selepas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dilihat mahu berdamai dengan China setelah bertahun berlaku perbalahan berkaitan kawasan maritim.
Selepas Duterte melobi, China akhirnya setuju membenarkan nelayan Filipina menangkap ikan di kawasan yang dipertikaikan dan dikenakan sekatan selama empat tahun – Scarborough Shoal.
China menuntut kebanyakan wiayah di Laut China Selatan. Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan turut menuntut wilayah yang sama. – Agensi
The post China diamkan Asean isu ‘penambakan tanah dan ketenteraan’ di Laut China Selatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan