Kerajaan Melaka lembab, masalah babi tak pernah selesai

BANGI, 29 Syaaban 1438H, Jumaat – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa kerajaan Melaka menghentikan ‘bermain wayang’ berhubung isu pencemaran yang berlaku di beberapa buah pantai serta sungai akibat projek pertenakan babi di Kg Paya Mengkuang, Melaka.

Menyifatkan kerajaan negeri sebagai lembab, Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) DPPM, Nazman Che Iberahim mempersoalkan sampai bila masalah tersebut akan diheret dan dibiarkan berpanjangan.

Malah, katanya, cadangan kerajaan negeri yang mahu membangunkan ladang babi moden bernilai RM50 juta di atas tanah seluas 50 ekar di Paya Mengkuang juga amat meragukan.

“Projek yang dijangka bermula pada 2018 tahun hadapan itu, kami tidak yakini untuk menjadi solusi terbaik kepada masalah pencemaran ini. Adakah ia sudah melalui kajian yang mendalam dan bersifat menguntungkan rakyat secara keseluruhannya?

“Jangan pula nanti projek puluhan juta ini hanya menguntungkan lagi pemilik kepada 36 buah kandang babi ini sahaja sedangkan Sg Tuang tetap juga tercemar.

“Dan jangan juga nanti 48,000 ekor babi yang diternak ini yang akan selesa dalam kandang baru yang serba moden, canggih dan mewah sedangkan rakyat kekal menghidu udara yang busuk dan air hitam pekat dengan najis babi,” kata Nazman dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak kurang dengan itu, beliau turut mempersoalkan rasional kerajaan Melaka membincangkan Kertas Cadangan Perlesenan Ladang Babi 2017.

Sedangkan, katanya, telah adanya Kaedah-kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013 bagi aktiviti itu.

“Kerajaan Melaka empat tahun lepas menyebut bahawa itu adalah usaha kerajaan negeri dalam menambah baik serta memberi kuasa di bawah Enakmen Menternak Babi 1980 dalam menangani permasalahan pencemaran tersebut.

“Namun selepas beberapa tahun berlalu, masalah ini kelihatan semakin kusut dan lebih teruk. Sungai Tuang semakin hitam, likat, busuk dan meloyakan sehingga akhirnya mengalir keluar ke Pantai Telok Gong. Kualiti dan bau udara di sekitar beberapa kampung berhampiran juga amat teruk dan betul-betul mengganggu urusan seharian penduduk.

“Rakyat juga semakin hairan apabila YB Exco Kerajaan Negeri menyebut bahawa semua penternak babi di Melaka sekarang ini tidak mempunyai lesen dan tiada undang undang khas yang mengawal aktiviti penternakan babi secara holistik dan efektif. Bagaimana hal semudah ini terlepas pandang?

Sedangkan peniaga peniaga kecil Melayu, yang mencari sesuap nasi dengan berniaga di tepi tepi jalan sekalipun, dihambat dan ditekan dengan lesen itu dan ini, maka kenapa tauke tauke babi ini bebas tanpa ada lesen dan undang undang? ,” soalnya.

Sehubungan itu, Nazman menggesa kerajaan Melaka melihat nasib rakyat majoriti berbanding memberi muka kepada penggembala babi.

“Nasib penduduk setempat malahan lebih khusus lagi nasib malang 153 pengusaha pusat peranginan yang menawarkan 1,503 bilik penginapan di kawasan ini perlu diberi perhatian.

“Sekiranya pengunjung dan pelancong sudah tidak mahu lagi berkunjung ke sini, jangan kata pengusaha chalet dan pusat peranginan tersebut yang terjejas, tetapi pemilik kedai makan, gerai gerai, kedai cenderamata, dan segala aktiviti bisnes yang hidup secara simbiosis dengan chalet tadi, akan turut terjejas.

“Janganlah babi di kandang diutamakan dan majoriti rakyat sendiri diberi bau busuk dan meloyakan setiap hari. Sampai bila masalah ini mahu diheret?

“Takkanlah pada tahun 2050, yang selaras dengan gagasan TN50, kita akan masih bercakap mengenai masalah ini?

“Adakah mahu menunggu wabak JE menular dan menggila di Melaka, maka barulah satu tindakan muktamad akan dibuat? Kandang yang hanya terletak 1 km dari pantai peranginan ini wajib dipindahkan segera!,” tegasnya.

The post Kerajaan Melaka lembab, masalah babi tak pernah selesai appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?