Kerjasama PAS, UMNO bukan hanya kerana kuasa

Melayu dan Islam adalah teras utama pembinaan
negara bangsa Malaysia

BANGI, 18 Syaaban 1438H, Isnin – Tindakan mempertikai pendekatan politik matang PAS dan UMNO adalah pemikiran sempit yang hanya melihat apa dilakukan kedua-dua parti itu kurang baik kepada rakyat, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

Beliau berkata, ada pihak mengatakan matlamat sebuah parti politik adalah memenangi pilihan raya dan melalui kemenangan itu dasar baharu dapat dibuat, manakala sesetengah yang lain menganggap politik angka Ahli Parlimen penting, kerana mereka dahagakan kuasa selain berpendapat kerajaan sekarang bermasalah.

“Sememangnya pemikiran politik sempit ini sentiasa melihat apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri Pas adalah kurang baik kepada rakyat. Tetapi adakah mereka yang menuduh itu melihat sendiri kelemahan pengurusan dan pembangunan Dun atau Parlimen mereka?

“Menanam politik kebencian adalah amat mudah berbanding menanam politik permuafakatan yang menuju ke arah politik matang. Bukan semua matlamat parti politik adalah untuk mendapatkan kuasa. Jika diamati kekuasaan sesebuah parti politik adalah dilihat sejauh manakah parti itu mempengaruhi dasar atau hala tuju sesebuah negara dalam membela nasib rakyat.

“Adalah janggal apabila ahli-ahli politik tertentu melihat politik itu dari segi kuasa semata-mata tanpa menilai akan amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Beliau berpendapat tindakan PAS menjalin hubungan dengan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO bukan kerana kuasa semata-mata, tetapi lebih kepada membela nasib dan kepentingan umat Islam dan rakyat keseluruhan.

Katanya, pelbagai isu membabitkan maruah dan harga Islam telah menarik perhatian masyarakat, bermula dengan isu RUU 355, isu Dr Zakir Naik, isu serangan ke atas institusi tahfiz sehinggalah isu kes Masjid Austin, Johor Bahru, sehingga menunjukkan integrasi sosiopolitik hari ini amat rapuh kerana masing-masing ingin menjuarai fahaman politik mereka.

“Kadang kala kita terlupa bahawa cara Islam itu ditonjolkan sebegitu rupa sebenarnya membawa satu persepsi kurang baik. Mahu tidak mahu ahli-ahli politik perlu duduk semeja dan membawa politik matang dalam menyelesaikan permasalahan yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum di negara ini.

“Maka pendekatan wasatiyah wajar diamalkan kerana membawa kepada politik matang, seterusnya membantu memperkukuhkan integrasi sosiopolitik negara ini. Ini disebabkan pendekatan wasatiyah membawa kepada kesederhanaan, keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan dalam hidup manusia,” katanya.

Dr Iskandar Hasan juga berkata, adalah kurang bijak apabila hanya satu pihak dibenar menyuarakan kehendak mereka, tetapi sebelah pihak lain dilarang.

“Jika Melayu dan Islam yang bersuara mereka terus akan dilabelkan sebagai rasis sedangkan mereka hanya menyatakan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu difahami bahawa teras utama pembinaan negara bangsa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Melayu dan Islam. Pilihan teras utama pembinaan negara bangsa Malaysia sentiasa menjadi igauan sejak 60 tahun kemerdekaan negara ini,” katanya.

The post Kerjasama PAS, UMNO bukan hanya kerana kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian