Lepas proton banyak lagi akan dijual untuk bayar hutang: Tun M

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 28 Syaaban 1438H, Khamis – Keputusan menjual kepentingan 49.9 peratus dalam Proton Holdings kepada sebuah syarikat kereta China membuatkan, Tun Dr Mahathir Mohamad, menangisi nasib Ikon Malaysia pada masa depan.

Mengakui tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan perjanjian Proton dengan Geely sudah pun dimeterai, pengasas kereta nasional negara pada 1983 itu berkata, beliau terlalu sedih melihat aset negara sekarang ini dijual sedikit demi sedikit kepada pihak asing bagi membebaskan Malaysia daripada beban hutang yang besar.

“Apakah aset kita? Sudah tentu tanah kita!! Itu adalah apa yang kita lakukan pada masa lalu. Kita menjual negara kita. Kita kehilangan tanah kita. Inilah apa yang kita lakukan sekarang. Dan, ia akan menjadi sesuatu yang akan dilakukan – atau kita akan kehilangan negara kita; seperti kita kehilangan Proton.

“Proton yang diilhamkan saya telah dijual. Ia mungkin permulaan kepada penjualan lebih besar selepas ini untuk bayar hutang, Usaha ini tidak dapat dihentikan lagi. Lama-lama, kita akan kehilangan negara kita yang sememangnya hebat, tetapi dimiliki orang lain.

“Saya memang lembik. Saya menangis walaupun rakyat Malaysia tidak menitiskan air mata. Anak saya hilang. Tak lama lagi, negara saya. Maafkan saya,” kata Tun Dr Mahathir dalam blognya, hari ini.

Dua hari lalu, DRB-Hicom mengumumkan menjual 49.9 peratus sahamnya dalam Proton kepada Kumpulan Geely Holding yang juga menguasai Geely Automobile Hong Kong, Kumpulan Kereta Volvo Sweden dan London Taxi Company.

“Kini dengan wang dan teknologi lebih hebat, Proton akan bersaing dengan Rolls Royce dan Bentley. Tetapi saya tidak boleh berbangga dengan kejayaannya. Saya tidak boleh berbangga mengenai sesuatu yang bukan milik saya atau negara saya. Mungkin rakyat Malaysia yang lain, tapi bukan saya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berkata, kereta nasional ideanya itu kini tidak lagi menjadi satu kejayaan Malaysia.

“Proton sudah dijual. Ia dijual kepada orang asing. Saya yakin Proton akan lebih baik. Ia akan menjadi satu kejayaan komersial. Ia akan dijual di seluruh dunia. Nama Proton akan berada di mana-mana.

“Ia akan menjadi seperti Singapura. Rakyat Malaysia bangga dengan kejayaan Singapura. Jika ia (Singapura) tidak dijual, ia kemungkinan akan dimajukan sebagaimana Kuala Kedah atau Kuala Perlis,” katanya.

The post Lepas proton banyak lagi akan dijual untuk bayar hutang: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian